Pages

Saturday 28 February 2015

TAKAFUL : TAK KENAL TAK CINTA - BAHAGIAN DUA

Entry ke Empatbelas

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera.

Di bahagian satu, saya sudah kongsikan kriteria orang yang tidak memerlukan takaful. Adakah anda salah seorang dari mereka? Jika tidak dan majoriti kita adalah tergolong pada kelompok yang memang memerlukan takaful, maka ikuti seterusnya penerangan saya supaya anda betul-betul faham akan keperluan ini.

Takaful adalah berasaskan konsep tolong menolong. Golongan yang ramai membantu golongan sedikit yang dilanda musibah. Sama juga seperti skim khairat kematian disurau-surau kita. Semua ahli kariah membuat sumbangan bulanan dan dana ini akan dikumpulkan. Bila mana-mana ahli kariah ditimpa musibah, maka peruntukan akan diambil dari tabungan yang dikumpulkan untuk membantu meringankan bebanan waris yang ditinggalkan. 

Cuma di takaful, beberapa ciri ditambah baik lagi untuk memberi perlindungan dalam skop yang lebih luas.  Dalam skim khairat kematian, bantuan akan diberi atas musibah kematian sahaja. Tetapi di takaful, selain kematian bantuan juga diberi atas musibah kemalangan dan juga sakit. Juga ada simpanan untuk haji, untuk tabungan pelajaran anak-anak dan tabungan hari tua. Pelbagai pelan ada untuk pilihan kita mengikut budget dan keperluan kita. 

Okey. Berikut beberapa penjelasan bagi pertanyaan atau dilema yang membuat anda teragak-agak untuk membuat keputusan segera.

1. " Ala takaful ni, masa nak masuk janji macam-macam. Nanti bila nak buat tuntutan, semua tak boleh".

Sepanjang saya menjadi wakil di Etiqa takaful ini, banyak tuntutan yang telah dibuat oleh pelanggan saya dan alhamdulillah semuanya diluluskan. Ada tuntutan kematian. Ada tuntutan kemalangan. Ada tuntutan masuk hospital dengan menggunakan kad perubatan Etiqa Takaful. Malah ada tuntutan untuk anugerah cemerlang bagi anak-anak pelanggan yang mengambil pelan simpanan pendidikan. Ada beberapa pelanggan yang dapat anugerah ini beberapa kali bermula dari UPSR sebanyak RM500, PMR sebanyak RM750 dan SPM sebanyak RM1000. Tahniah kepada Tn Hj Mokhtar dan Hj Shukri antara yang saya ingat. Juga En Fauzi dan Pn Rosniah.

Untuk makluman, kebarangkalian tuntutan ditolak adalah amat kecil sekali. Antara sebab kemungkinan ditolak adalah seperti berikut :-

i)   Dokumen tidak lengkap.

ii)  Belum sampai tempoh yang dibenarkan. Di Etiqa takaful penyakit kritikal cuma boleh dituntut selepas 120 hari menyertai Takaful. Kemasukan ke hospital menggunakan kad medikal selepas 45 hari menyertai. Dalam kedua-dua kes untuk kes kemalangan tiada tempuh menanti.

iii) Penyakit sediada sebelum polisi di ambil.

iv) Maklumat tidak tepat semasa mengisi borang permohonan. Contoh seperti tidak mengistiharkan penyakit yang pernah atau sedang dihidapi. Maka bila tuntutan dikemukakan bersama borang yang disi oleh doktor menyatakan penyakit telah dihidapi sebelum polisi di ambil maka tuntutan akan ditolak.

v) Penyakit yang tidak dilindungi oleh takaful iaitu penyakit yang telah di hidapi sejak lahir.


2. Buat apa ambil takaful. nanti kita meninggal, isteri  atau suami kaya, dia cari yang lain :)

Adalah lebih baik kita meninggalkan harta kepada anak isteri kita dari membiarkan mereka meminta-minta selepas ketiadaan kita. Lebih teruk lagi jika kita tinggalkan hutang untuk dilunaskan oleh mereka.

Sudahlah kehilangan suami atau bapa itu keluarga kehilangan kasih sayang malah turut akan kehilangan punca pendapatan yang menampung kehidupan selama ini. Jika ada pencen pun separuh daripada gaji sahaja yang diterima.

Tentu isteri atau anak-anak akan rasa bersyukur sekiranya di kunjungi oleh pihak Takaful membawa cek sejumlah RM100k atau lebih atas nama mereka. Mereka tentu terasa terhutang budi kepada anda.

Begitu juga pada para isteri. Mungkin dengan wang khairat kematian itu dapat membantu suami membesarkan anak-anak peninggalan kita dengan lebih baik lagi. Usahlah risau suami berkahwin lain menggunakan duit itu. Jodoh dan pertemuan semua Allah dah tentukan.  Jika nak berkahwin lain, masa kita hidup pun mereka boleh jika mereka mahu.

Okey. Cukup dulu dua persoalan ini. Adakah anda rasa anda perlu ambil takaful dengan dua sebab di atas. Ikuti lagi di bahagian seterusnya.

Thursday 26 February 2015

TAKAFUL....TAK KENAL TAK CINTA

Entry ke 9

Teks : RAHMAH YAAKOB


Salam sejahtera. Izinkan saya berkongsi sedikit ilmu berkaitan takaful.

Sejak mengenali takaful duabelas tahun dahulu, saya sudah jatuh cinta. Manakan tidak. Inilah satu-satunya institusi yang menyediakan perlindungan kewangan. Bukan maknanya ambil takaful tidak mati atau tidak sakit. Bukan. Maksudnya jika berlaku musibah, takaful akan menghulurkan bantuan meringankan bebanan kewangan kita.

Berlainan dengan pelaburan. Banyak pilihan yang kita ada. Paling mudah Tabung Haji. Ada unit amanah, ada pelbagai skim. Boleh diperniagakan. Beli emas. Beli hartanah. Semua ini menyumbang kearah menaikkan nilai kewangan kita. Tetapi andai berlaku musibah dipertengahan tempuh pelaburan ini, sampai ke hajat kita untuk mengumpul wang yang kita impikan. Disinilah takaful memainkan peranannya.

Takaful, satu perkataan yang orang takut hendak dengar. Sepanjang tempuh saya berkecimpung dalam bidang ini, bermacam-macam versi saya dengar dari prospek yang saya atau wakil temui.

Antaranya :-

Ala takaful ni, masa nak masuk janji macam-macam. Nanti bila nak buat tuntutan, semua tak boleh. Anda pun saya rasa pernah terfikir soalan yang sama kan ?

Buat apa ambil takaful. nanti kita meninggal, isteri  atau suami kaya, dia cari yang lain :)
Begini pun ada.

Duit simpanan saya dah banyak. Tidak perlulah ambil takaful.

Semua dah takdir Allah. Buat apa kita bergantung sangat pada takaful ?

Saya masih muda. Nanti-nantilah saya ambil.

Sekarang pun tak cukup gaji, macam mana lah saya nak buat simpanan di takaful pula.

Saya tidak perlukan kad perubatan. Majikan saya ada menyediakan kemudahan andainya masuk hospital.

Anak saya kecil lagi. Nanti dah besar adalah pinjaman atau PTPTN dia boleh ambil.

Itulah antara jawapan atau alasan yang sering kami jumpa sewaktu berjumpa masyarakat diluar sana.

Dan tugas kami untuk mengubah persepsi begini kepada kefahaman yang benar mengenai takaful.

Jadi, di sini, saya nak kongsikan 5 sebab kenapa anda tak perlu ambil takaful. Jadi lain kali, jika ada wakil takaful cuba mencadangkan pelan takaful kepada anda, bolehlah anda bagi 5 jawapan ini.

1. "Saya masih dapat gaji jika meninggal dunia/ hilang upaya."
Jika majikan masih boleh bagi anda gaji walaupun anda sudah meninggal dunia atau hilang upaya keseluruhan, maka anda tak perlu fikir langsung untuk ambil takaful.

2. "Kerajaan boleh bantulah."
Jika pihak kerajaan boleh bantu keluarga anda sebaik-baiknya selepas anda meninggal dunia atau hilang upaya, maka jangan fikir langsung untuk ambil takaful.

3. "Simpanan saya banyak dah."
Jika simpanan anda sudah banyak dan cukup untuk melindungi pendapatan anda, maka takaful bukanlah suatu kewajipan untuk anda miliki.

4. "Saya dah nak pencen dah."
Jika anda sudah nak pencen, mungkin dalam tempoh masa 1-3 tahun saja lagi, maka usah risaukan langsung tentang takaful ye.

5. "Keluarga saya boleh tanggung saya la."
Jika keluarga anda mampu tanggung anda ketika anda hilang upaya, maka anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada takaful.
"Tapi macam mana jika saya tak ada kelima-lima sebab ni?"
Laa... Apa susah, ambillah takaful.

Saya boleh membantu anda dengan memberi penerangan tentang pelan yang berseuaian dengan kedudukan kewangan anda dan tujuan anda mengambil takaful tersebut. Pelbagai pelan yang ada ikut kesesuaian dan keperluan anda.

Hubung saya 013-3545984.

Wednesday 25 February 2015

SEMPORNA...DIA DATANG MENABUR BAKTI

Entry ke sebelas

Teks : RAHMAH YAAKOB


Kelmarin, sedang saya memandu ke lapangan terbang Sandakan untuk menjemput suami, tiba-tiba masuk satu wasap. Bila berhenti di lampu isyarat, saya capai handphone dan baca wasap berkenaan.
"Nadiah dapat KK Semporna".

Tersentap rasanya. Ya Allah, begitu jauh dia ditempatkan. Memang dia tengah berdebar-debar menunggu arahan untuk penempatan setelah tamat menjalani 'housemanship' selama dua tahun.
Dr. Nadiah. Anak kedua yang menyempurnakan cita-cita saya sedari kecil untuk menjadi seorang doktor. Allah makbulkan cita-cita saya melalui dia.

Tetapi perjalanan untuk menjadi seorang doktor ditempuhinya penuh liku. Sewaktu menuntut di Universiti Alexandriah, Mesir dia dan rakan-rakannya berdepan dengan kemelut perang saudara di Mesir. Kami ibubapa di tanahair sangat bimbang akan keselamatan mereka. Akhirnya berjaya juga dia menamatkan pengajian setelah enam tahun merantau di bumi anbiya sana. Selama enam tahun juga dia menyambut raya di perantauan. Ini kerana masa pengajian dan masa percutian tidak membolehkan dia beraya di tanahair. Tapi dia beruntung belajar di sana kerana berpeluang memahirkan penggunaan bahasa Al-Quran, bahasa Arab. Latihan di hospital di sana dan pergaulan dengan masyarakat seharian memang memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa arab.
Kalau tidak nanti ibarat bercakap ayam dengan itik kerana penduduk di sana masih ramai lagi yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Bila tamat pengajian, bakal-bakal doktor ini dibolehkan memohon untuk berkhidmat sebagai 'housemanship' dimana-mana hospital bergantung pada kekosongan. Memandangan saya dan suami tinggal di Sandakan, kami minta dia memohon bertugas disini  Sudah pasti permohonan ini diluluskan kerana negeri Sabah dan Sarawak memang memerlukan ramai doktor untuk memenuhi kekosongan. Tawaran untuk  bermula Mac 2012 di Hospital Duke Of Kent, Sandakan.

Namun disaat akhir ketika hendak datang melapur diri di Sandakan, tercetus pula kes pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu. Sejarah hitam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan penceroboh dari Sulu, Filipina. Dan kawasan kami Sandakan terlibat sama. Ada banyak ancaman bahawa akan berlaku serangan di sini juga. Dan selalunya hospital adalah salah satu sasaran penceroboh.

Dilema pula samada untuk meneruskan hajat datang ke sini atau mohon bertukar ke hospital lain. Setelah berbincang, kami bersepakat agar teruskan sahaja ke sini. Mungkin kacau bilau ini buat sementara sahaja. Maka bermulalah kehadiran Nadiah di samping kami di sini. Moga dapat menebus kembali masa perpisahan yang lama dahulu. Saya sangat bersyukur Allah takdirkan dia tinggal bersama kami sewaktu housemanship ini. Masih sempat kami melihat dia saban hari di depan mata sebelum dia berumahtangga jika jodoh sudah sampai suatu hari nanti.

Saat menjalani houseman ini adalah tempuh yang paling menduga kesabaran. Sekurang-kurangnya kami dapat memberi sokongan emosi dan galakan bila dia berdepan masalah atau masa 'down'. Saya juga dapat menyediakan keperluannya serba sedikit. Sepanjang tempuh HO ini memang sangat mencabar. Keluar awal pagi kadang-kadang sehingga esok pagi semula baru balik. Kadang-kadang sedih saya tengok nasi yang dibekalkan di bawa balik tanpa dijamah kerana langsung tidak sempat untuk berhenti makan katanya. Dia kena habiskan sehingga enam department barulah layak menjadi Pegawai Perubatan (Medical Officer). Setiap department selama 4 bulan. Maka kini sudah genaplah 24 bulan dia menjalani HO.

Tidak pernah pula terdetik difikiran dia akan ditempatkan nun jauh di Semporna. Lebihkurang 7 jam perjalanan dari Sandakan dengan menaiki kereta. Tapi segalanya Allah telah ada perancangan. Saya seharusnya bersyukur kerana telah diberi peluang dua tahun tinggal bersama dia. Kini perlu dilepaskan agar berdikari untuk berbakti di bumi Semporna pula. Usaplah air mata yang bergenang di bibir mata menanti saat perpisahan ini. Iringi doa agar dia dapat memberi khidmat bakti yang terbaik di sana. Dan juga didoakan moga ada sesuatu yang baik menunggu di sana. Aamiin.

AKU SURI JAGA RUMAH

Entry ke 4

Teks : RAHMAH YAAKOB

Setelah lima hari berumahtangga di hotel, akhirnya barang-barang kami sampai dari semenanjung. Dan kami bersiap sedia untuk berpindah ke rumah baru kami.

Maka bermulalah kehidupan saya sebagai surirumah sepenuh masa. Setelah 30 tahun terkejar ke sana kemari mencari rezeki bagi menambah pendapatan untuk keluarga. Iya lah. Masa bertugas di Telekom, mengejar 'date line' untuk menyiapkan lapuran projek dan lapuran kewangan. Penyediaan Rancangan Perniagaan, penyediaan tender dan penilaian tender. Semuanya ada matlamat masa yang perlu disiapkan.

Berbeza pula bila menjalankan perniagaan sendiri sebagai Pengurus Agensi. Ada juga matlamat yang perlu dicapai. Ada jumlah FYCC (First Year Collected Contribution)  iaitu jumlah kes dan bayaran pelanggan takaful yang perlu dicapai untuk mengekalkan kontrak sebagai pengurus agensi.

Pelbagai aktiviti perlu disusun dan dilaksanakan bersama para wakil. Pelbagai cara untuk menambah bilangan wakil dan memastikan pengekalan wakil sedia ada. Tambahan dengan bertambahnya lesen Takaful yang dikeluarkan oleh Bank Negara kepada syarikat-syarikat insuran.  Maka persaingan wujud. Ada persaingan yang sihat dan ada juga yang kurang sihat. Tetapi atas keyakinan rezeki di tangan Allah maka saya tetap teruskan perjuangan dan tujuan asal untuk berkongsi ilmu berkenaan takaful kepada masyarakat.

Tetapi dengan penghijrahan ini saya pasrah dan tidak mahu memikirkan tentang pengekalan kontrak saya sebagai Pengurus Agensi. Saya benar-benar ingin terbang bebas dari cengkaman kerja. Saya ingin menikmati kehidupan yang baru ditempat dan suasana baru. Sesuatu yang indahnya karier sebagai wakil takaful ini, walau pun kita tarik hand brake sekejap, komisyen tetap berjalan atas polisi yang belum mencapai enam tahun. Jadi saya tetap juga mendapat komisyen setiap bulan atas polisi pelanggan-pelanggan saya. Boleh lah juga digunakan untuk membayar tambang ulang alik saya dari Sandakan ke K. Lumpur.

Kini, saya di tempat baru. Tiada teman seperjuangan. Tiada kenderaan untuk kesana sini kerana hanya kereta suami sahaja yang di bawa ke sini. Kereta saya di tinggakan di semenanjung untuk kegunaan bila balik ke sana sekali sekala nanti. Maka rasmilah saya menjadi suri yang duduk di rumah menunggu encik suami balik kerja :)  Ibarat baru berumah tangga pula kerana anak-anak semua nya di destinasi masing-masing. Berada di empat penjuru yang berlainan. Seorang di Kuala Lumpur mengambil alih perniagaan Takaful Am saya, seorang di Sesta Tapah, seorang di UITM Jengka, Pahang dan seorang lagi di Universiti Alexandria, Mesir.

Saya rasakan suri rumah yang lain masih sibuk dengan tanggung-jawab membesarkan anak-anak. Saya pula Allah berikan rezeki dengan masa yang terluang dan hidup yang tenang. Tiada 'date line' dan tiada sasaran perniagaan yang perlu dipenuhi, Saya mesti bijak dan menghargai kurniaan Allah ini. Rugi kalau saya sia-siakan. Boleh sahaja saya lepak depan peti televisyen dari pagi sampai petang. Atau berbaring-baring memanjakan diri. Lima tahun begini ? Mahu nantinya saya 'membesar' dua kali ganda dari saiz sekarang. Jadi mem besar :)  Setakat berkemas rumah yang kecil ini, 10 minit sudah memadai. Membasuh untuk pakaian dua orang. Memasak. Makan minum. Oh tidak ! Sesuatu harus di fikirkan supaya lima tahun di sini di manfaatkan.

Apa dan bagaimana ? Tungguuuuuuu....

Tuesday 24 February 2015

MERISIK KHABAR

Entry kelapan

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera

Terima kasih kepada yang sudi mengikuti pengembaraan musafir ini di bumi Sandakan.

Hari kedua kami berpeluang buat peninjauan di bandar ini yang bakal menjadi kediaman kami selama lima tahun lagi. Terima kasih kepada seorang pegawai APMM En Mat yang bermurah hati meminjamkan kami kereta isterinya sehingga kereta kami tiba. Kebetulan isterinya balik bercuti ke semenanjung.

Tempat pertama yang kami tuju semestinya lah rumah yang bakal kami diami. Sebelum datang ke sini, suami telah meminta bantuan pegawai di sini untuk mencarikan rumah yang sesuai untuk kami. Kriteria yang di minta adalah rumah yang berhampiran dengan pejabat APMM dan berdekatan dengan masjid. Rumah sederhana besar kerana cuma saya dan suami sahaja bakal penghuni tetapnya. Anak-anak mungkin datang bercuti sekali sekala sahaja.

Kami tiba di rumah yang telah di 'booking' oleh pegawai tersebut  Sebuah apartment di Tkt 2, Yii Villa Apartment di Sim Sim. Alhamdulillah menepati kriteria kami. Berhampiran Masjid Sandakan tetapi tidaklah dekat yang membolehkan berjalan kaki.

Tempat kedua kami meninjau pejabat suami dan persekitaran bandar. Seterusnya saya meminta suami mencari pejabat Etiqa Takaful Cawangan Sandakan. Cinta pada Etiqa masih menebal di hati. Saya sempat berkenalan dengan beberapa kakitangan yang bekerja di situ. Mereka sangat peramah dan terasa saya di alu-alukan di sini. Alhamdulillah nampaknya saya masih boleh lagi membuat aktiviti yang diperlukan seperti membuat servis kepada pelanggan takaful saya, membuat pembayaran dan menghantar tuntutan dari pelanggan. Bab servis kepada pelanggan ini memang yang paling saya utamakan.

Peninjauan diteruskan lag. Pasar besar Sandakan. Wah, bestnya. Ikan, udang, sotong dan ketam yang masih segar dan ada yang menggeletek lagi. Harga pun murah dari semenanjung. Bayangkan masa itu ikan kembung sekilo RM5.00 sahaja. Ikan bilis dan udang kering yang segar. Nampak gayanya kena jadi chef mencari resepi seafood yang enak :)

Tidak lupa juga tempat yang mesti di cari. PERPUSTAKAAN. Satu kemestian kerana saya akan punyai banyak masa yang terluang. Masa ini lah di perantauan ini, saya akan dapat membaca sebanyak mungkin. Syukur, perpustakaan yang sederhana besarnya ini terletak berdekatan pejabat suami dan betul-betul di pinggiran laut. Di sini tiada rumah air yang didirikan. Bayangkan saya membaca di sebelah pandangan yang membiru. Sunnguh romantik. Nampaknya akan ada keseronokan yang bakal saya kecapi d bumi ini.

Cukup dulu setakat ini perkenalan awal dengan Sandakan. Masih banyak lagi akan di terokai.



Monday 23 February 2015

BERMULANYA PENGHIJRAHAN

Entri Ketujuh

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera semua.

Disember 2011, saya , suami dan Noor Hidayah dengan rasa yang bercampur aduk menaiki pesawat menuju ke destinasi baru yang begitu asing bagi saya. Noor Hidayah ikut sekali sementara cuti persekolahan masih ada. Suka, sedih, penuh harapan dan optimis. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke bandar ini. Walaupun sewaktu bekerja di Telekom Malaysia dulu saya kerap ke negeri Sabah memantau projek tapi Sandakan tidak pernah lagi saya pergi.

Melihat pada peta,  Sandakan letaknya nun di hujung atas sebelah timur Sabah. Bandar yang terletak di pinggiran laut. Dalam hati terdetik, wah tentu menarik. Saya bayangkan dapat bersiar-siar di tepian pantai menghirup udara nyaman di waktu petang.

Penerbangan lebihkurang 2 jam 50 minit dari KLIA. Agak jauh juga destinasi kami ini. Kami berpeluang  melintasi puncak Gunung Kinabalu dalam perjalanan ini. Indah sungguh pemandangan dari udara ke atas puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. Setinggi 4095 meter dari aras laut. Akhirnya kami mendarat di lapangan terbang Sandakan. Memang tidak pernah saya jangkakan saya bermusafir di usia begini. Namun saya redha dengan perancangan Allah ini. Kemungkinan saya akan menjadi warga Sandakan selama lima tahun mengikut kebiasaan sistem penjawatan di APMM setakat ini.

Kami menaki teksi menuju ke Sabah Hotel. Disinilah kami akan menginap sementara menunggu barang-barang kami termasuk kereta sampai dari Semenanjung. Sebenarnya  barang-barang ini telah dihantar terlebih dahulu menggunakan kapal tetapi agak lewat tibanya. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, saya agak kagum kerana saya bayangkan sebelum ini Sandakan cuma sebuah bandar kecil. Rupanya Sandakan sebuah bandar yang agak besar juga. Rasanya bandar kedua tebesar di Sabah selepas Kota Kinabalu. Dan satu yang saya amat seronok, perjalanan begitu lancar. Tiada kesesakan lalulintas disini sesuatu yang begitu sinonim dengan Kuala Lumpur.

Memang kami lalui juga pesisiran pantai di beberapa tempat. Tapi sayang harapan saya untuk bersiar-siar di tepian pantai musnah berterbangan. Pantai yang sepatutnya  indah dipenuhi dengan rumah-rumah air yang di sepanjang pantai. Ada yang berselerak dan ada yang tersusun. Difahamkan yang tersusun ini ada kelulusan seperti geran. Yang berselerak itu adalah penempatan 'tidak sah'. Hibanya hati ini menyaksikan  pencemaran  keindahan alam semula jadi ciptaan Allah ini.

Banyak lagi yang menanti di Sandakan ini untuk diterokai dan akan saya kongsikan untuk kita mengenali Sandakan dan lain-lain tempat menarik di negeri di bawah bayu ini. Tungguuuuuuu....



PERANCANGAN ALLAH YANG TERBAIK

Entry keenam

Teks : RAHMAH YAAKOB


ATM.  Bila kita memerlukan duit kita pergi ke mesin ATM.

Tapi bila kita perlukan membuat keputusan, kita ada Allah. ATM. Allah Tempat Mengadu. Allah Tempat Meminta.

Saya renung dan fikirkan. Kenapa di usia kami yang mencecah lima puluhan, Allah takdirkan penghijrahan nun jauh di negeri bawah bayu. Mesti ada hikmah disebalik perancangan Allah ini. Saya memohon kepadaNya agar diberi kekuatan dan kelapangan dada dalam mencapai keputusan yang terbaik untuk semua pihak.

Saya mula dengan solat istikhorah mohon petunjuk dari Allah. Kemudian saya mula menyenaraikan kebaikan dan perkara positif seandainya saya melakuakn penhijrahan ini.


  • Sudah 30 tahun saya menempuh alam pekerjaan. Saya sudah rasai semua. Saya sudah pernah menjadi penjawat awam di Jabatan Telekom selama lima tahun. Saya sudah bekerja dalam syarikat swasta iaitu Telekom Malaysia selama 15 tahun. Saya sudah merasai pahit manis berniaga dalam pemasaran berbilang peringkat (MLM). Saya sudah dan sedang menerajui agensi sendiri. Sudah merasai pengalaman menjadi boss. Sudah melebihi setengah dari jumlah usia saya waktu itu di abadikan dalam alam pekerjaan.


  • Mungkin dengan penghijrahan ini Allah beri isyarat supaya saya tarik brek tangan, perlahan-lahan berhijrah menjadi suri rumah sepenuhnya  


  • Allah ingin memberi saya peluang menikmati kehidupan yang tenang di usia sebegini. 
  • Supaya saya lebih banyak masa untuk menambah saham akhirat. 
  • Lebih banyak masa untuk merihatkan badan dan fikiran. 
  • Lebih banyak masa untuk buat sesuatu yang saya minati iaitu membaca.
  • Boleh melakuakn aktiviti kemasyarakatan

Persoalan lagi.

Apa sebenarnya tujuan saya bekerja selama ini? Adakah untuk kepuasan sendiri ? Adakah untuk bermegah denga pangkat dan jawatan? Adakah untuk mengumpul harta bertimbun. Adakah untuk melarikan diri dari menjadi surirumah sepenuh masa?

Jawapannya mudah. Saya bekerja untuk membantu menambah kewangan keluarga. Maklumlah duduk di bandar segalanya memerlukan wang.  Agar kami sekeluarga hidup senang dan bahagia. Memang bahagia bukan terletak pada wang ringgit. Tapi itu sebahagian yang diperlukan sebagai salah satu dari perencah utama. Jadi persoalannya disini. Adakah bahagia jika suami isteri berjauhan.

Siapa yang akan mengurus makan minum dan pakaian suami di sana. Memang tidak dinafikan suami saya sudah biasa berdikari. Dia sudah biasa memasak dan menggosok uniform sendiri walaupun semasa saya ada di rumah. Malahan masakan asam pedas suami saya lebih terangkat dari masakan saya. Maklumlah orang Johor. Tapi ini bukan alasan bagi saya untuk tidak berpindah sama dan mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Persoalan lagi.

Apa akan jadi pada agensi dan wakil-wakil di bawah agensi saya ?


  • Penyelesaianya. Saya akan meneruskan menyewa pejabat sediada di mana wakil boleh menggunakannya walaupun saya tiada. Saya juga telah memberi latihan semaksima yang mungkin kepada wakil-wakil dengan kerjasama dari Ketua Kumpulan Agensi dan Kumpulan Magnificient12 iaitu gabungan beberapa agensi. Saya telah melaburkan ribuan ringgit untuk mendapatkan khidmat bagi membimbing mereka semua. Tiada sebab mereka tidak boleh bergerak tanpa saya. Hendak seribu daya. Sebarang bantuan boleh juga diminta melalui talian. Sekarang semuanya dihujung jari. Maklumat tanpa sempadan. 


  • Saya juga menyerahkan sepenuhnya urusan Takaful Am kepada anak sulung saya  Muhammad Rasyid yang baru menamatkan pengajian di MMU dalam bidang IT. Dia pun menampakkan kecenderungan dalam bidang perniagaan dan ingin bekerja sendiri. Dia juga bakal mendirikan rumahtangga pada Jun 2012. 

Persoalan lagi.

Bagaimana dengan anak-anak yang lain.

  • Yang bongsu anak keempat, Noor Hidayah sedang bersekolah di Sek Sains Tapah dalam Tingkatan Dua. Dia tinggal di asrama dan cuma balik kerumah bila cuti panjang.
  • Anak ketiga Shafiq menuntut di UITM Jengka. Dia juga balik sekali sekala bila cuti semesta.
  • Dan anak yang kedua Nadiah sedang melanjutkan pelajaran di Mesir dan akan tamat setahun sahaja lagi. Saya mencadangkan Nadiah buat housemanship di Hospital Sandakan bila tamat nanti.

Persoalan lagi

Emak dan emak mertua. Kedua-dua abah dan abah mertua sudah kembali ke rahmatullah.
Kami akan balik sekali sekala melawat mereka. Emak saya memang tidak lagi tinggal di kampung kerana sudah uzur. Emak tinggal bergilir-gilir dirumah adik beradik saya seramai enam orang. Saya akan balik bila giliran saya menjaga emak.

Emak mertua saya sedang sakit akibat stroke. Dia dijaga sepenuh masa oleh adik ipar saya yang berhenti kerja untuk menjaga mak. Seorang anak yang sungguh baik hati menjaga arwah mak mertua saya hingga akhir hayat. Semoga Allah juga yang membalas jasa adik ipar saya ini.

Semua persoalan telah diambil kira dan ada penyelesaiannya insyaAllah. Berdasarkan senarai diatas, maka tanpa ragu lagi saya dengan rasminya mengambil keputusan berhijrah ke negeri di bawah bayu mengikut suami pada Disember 2011. Moga penghijrahan ini akan diberkati Allah.

Saya positif dan mengharap ada sinar kebahagian menanti di sana.

Jom packing :)

Sunday 22 February 2015

DILEMA ANTARA KARIER ATAU ....

Entry Kelima

Teks : RAHMAH YAAKOB



Sudah tiga tahun saya menjadi warga Sandakan kerana mengikut suami yang bertugas di sini. Tiga tahun ? Cepatnya masa berlalu. Rasanya baru lagi saya membuat keputusan berhijrah ke sini 3 tahun lepas.
Sebelum ini kami tinggal di Kuala Lumpur. Suami bekerja di APMM Putrajaya. Saya bekerjaya sebagai seorang Pengurus Agensi Etiqa Takaful sudah lapan tahun lamanya. Pejabat saya di Bandar Sri Permaisuri, lebihkurang 2 km dari rumah. Saya mempunyai beberapa orang wakil di bawah Agensi Rahmah. Ada yang sepenuh masa dan ada yang buat secara sambilan. Disamping menjalankan perniagaan Takaful Keluarga saya juga buat Takaful Am iaitu memperbaharui insuran kenderaan, insuran rumah, Personal Accident dan lain-lain.
Bila suami dapat arahan berpindah ke Sandakan pada Disember 2011 untuk mengetuai APMM di sana, saya dilanda dilema. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Bagaimana kerjaya saya di sini. Bagaimana wakil-wakil yang bernaung di bawah agensi saya. Bagaimana anak-anak yang bersekolah dan masih menuntut di semenanjung ini. Bagaimana nak berjauhan dengan emak dan emak mertua yang sudah tua. Kalau di utara Perlis atau Timur Kelantan masih boleh berkereta dan berkejar balik ke K.Lumpur. Ini di seberang Laut Cina Selatan...cuma naik kapalterbang sahaja caranya untuk balik ke Semenanjung.

Kenang kembali perbualan kami di suatu petang.
"Saya kena pindah ke APMM Sandakan ".  Bagai nak jatuh jantung saya mendengarnya.
Saya tanya "bila " ?
"Bulan Disember ni". MasyaAllah lagi dua bulan. Disudut hati saya pelbagai persoalan timbul..dan adakah betul apa yang saya dengar ni. Harap-harap ini cuma satu gurauan.
"Alah...ni main-main je kan ?
"Betul. Dah keluar surat arahan pun".
"Tak boleh ke tak pergi. Katalah isteri kerja kat sini. Anak bersekolah, Emak dah tua dan mak mertua saya (arwah) al-Fatihah untuk emak) pun sedang sakit dan apa-apa je lah alasan agar arahan pindah dibatalkan.
Suami cuma tersenyum. Saya faham senyumannya, macam nak cakap ni bukan ofis saya, boleh sesuka hati nak buat apa.
" Tak apa lah. Kalau tak nak ikut tinggallah di sini". Nanti saya selalu balik ke sini. Ada mesyuarat di HQ ke, seminar ke".
Saya pun termenung membayangkan seorang di sana, seorang di sini. Nanti asyik menghitung hari di kelendar macam percintaan jarak jauh.
Sepanjang 28 tahun berumahtangga (masa tu) cuma sekali suami kerja berjauhan dari Kuala Lumpur selama lebihkurang dua tahun. Itu pun di TUDM Butterworth. Setiap minggu suami berulang balik naik bas Butterworth - Kuala Lumpur. Memang mennyiksakan. Ini kan pula nun jauh di seberang lautan. Tidak akan mampu balik setiap minggu atau setiap bulan.
Apa kah keputusan yang saya ambil ?


Saturday 21 February 2015

TIP PERANCANGAN KEWANGAN

Entry Ke 13

Teks : RAHMAH YAAKOB


Dari hidup saya bekerja dengan kerajaan (Jabatan Telekom 1981 - 1986), kemudian swasta (Telekom Malaysia (1986 - 2002) dan bekerja sendiri (Wakil Takaful 2003 - 2015) bab perancangan kewangan adalah sama sahaja.

Ia bukan berapa banyak yang kita dapat setiap bulan. Ia lebih kepada berapa banyak yang kita simpan dan berapa banyak yang kita salurkan untuk kebajikan. Dan kebajikan yang paling utama adalah perbelanjaan untuk keluarga.

Secara kasarnya tip untuk merancang kewangan adalah seperti berikut :-

1. 10% dari jumlah gaji atau keuntungan perniagaan di ketepikan untuk simpanan SEBELUM belanja. 

Simpanan boleh dibuat di tempat selain akaun bank yang gaji kita dimasukkan. Contoh simpanan ke dalam Tabung Haji, Takaful atau Unit Amanah. Kita digalakkan mempelbagaikan cara simpanan kita mengikut objektif kita menyimpan. Bak kata bidalan " don't put egg in one basket ".

Selalunya saya tekankan kepada pelanggan saya yang paling penting adalah menyimpan sedikit di Takaful. Disamping simpanan, kita juga dapat perlindungan andainya berlaku musibah.

Ayat yang selalu saya guna " panjang umur kita dapat semua simpanan dengan keuntungan, berhenti bernafas, waris akan dapat manafaat khairat kematian dan sepanjang kehidupan kita tidak lari dari musibah.  Sakit, accident, denggi sana sini maka dengan adanya pelan takaful insyaAllah boleh membantu MERINGANKAN bebanan kewangan kita.

2. Ada perancangan perbelanjaan bulanan

Bahagikan siap-siap jumlah wang yang selalu kita gunakan setiap bulan seperti sewa rumah, ansuran kereta, bil elektrik, air, broadband, makan minum, ibubapa, anak-anak dan semua perbelanjaan yang lain. Seeloknya direkodkan supaya kita tahu kemana wang kita dibelanjakan.

3. Belanja ikut KEPERLUAN bukan KEMAHUAN

Kerap kali kita bila pergi ke pasaraya untuk membeli sesuatu, berakhir dengan membeli benda-benda yang tidak ada dalam perancangan asal. Di sini kita perlu kuatkan semangat. Jangan ikut nafsu.
Elok jangan bawa wang berlebihan atau pun kad kredit. Senang teruja bila nampak sesuatu yang menarik. Mahu bukan perlu pun :)

4.  Amalkan menderma dan bersedekah

Sekarang macam-macam cara dipermudahkan untuk menderma. Online sahaja ramai yang memerlukan bantuan. Rumah anak yatim, pembinaan masjid, orang sakit yang memerlukan wang untuk rawatan dan seumpamanya.

Sebenarnya dengan amalan bersedekah ini juga insyaAllah Allah akan menggandakan sekurang-kurangnya 10 kali ganda. Lagi banyak kita berhutang, lagi banyak sepatutnya kita bersedekah. Moga Allah permudahkan kita melunaskan hutang.

5. Cari pendapatan sampingan

Bahagian ini akan saya kupas dalam entry yang lain.

Moga tips di atas untuk saya sendiri dan rakan-rakan mengamalkan nya.




TIP REZEKI MELIMPAH RUAH - DHUHA, IKHLAS MEMBANTU

Entry ketiga

Teks : RAHMAH YAAKOB

Cop kejap. Semalam saya ada cerita pasal keistimewaan dua insan yang banyak membantu saya selama ini. Selain emak dan abah yang memang tidak dapat dibalas jasa mereka walaupun dengan harta sedunia ini.

Insan yang saya maksudkan adalah kakak dan abang ipar saya yang mesra dipanggil Mak Lang dan Pak Lang oleh anak-anak saya. Merekalah yang membantu menjaga anak-anak saya sewaktu saya bekerja.

Berikut ini luahan hati anak sulung saya sendiri. 

 " Sebenarnya sudah lama ingin buat 1 post khas buat 2 insan yang sangat banyak berbakti kepada saya selepas mak dan ayah saya.Sejak saya berumur bawah 1 tahun lagi sehingga saya di sekolah menengah merekalah yang mengasuh dan menjaga saya ketika mak dan ayah bekerja mencari rezeki.Mereka tidak pernah berharap bayaran untuk menjaga saya dan adik-adik saya walaupun kehidupan mereka tidak mewah,maklang saya juga tidak bekerja dan mereka sendiri mempunyai 5 orang anak yang perlu dijaga.


Sehingga hari ini saya lihat Allah telah memudahkan kehidupan mereka.Sejak kecil saya selalu lihat maklang akan solat pada pukul 10 pagi sehingga saya ingat ada solat fardhu pada pukul 10.Bila saya sudah besar baru saya sedar maklang orang yang tidak pernah tinggal solat dhuha.Maklang dan paklang juga saya lihat amat memuliakan tetamu.Bila sesiapa datang ke rumah mereka akan terus menjamu dengan apa yang mereka makan ketika itu.Kalau tetamu enggan makan,at least mereka akan pastikan tetamu akan minum air.Mereka beli kereta dan renovate rumah berpuluh ribu pun bayar dengan tunai.Dan setiap tahun Allah pilih Maklang dan Paklang mengerjakan haji dan umrah 2-3 kali 1 tahun kerana beliau sekarang merupakan mutawwif.Jadi saya tidak hairan kehidupan mereka dimudahkan oleh Allah sehingga hari ini

Antara jasa mereka kepada saya yang dapat saya ingat;

1.Maklang bertanggung jawab memaksa saya solat fardhu di awal usia 10 tahun dan sehingga sekarang saya akan resah,gelisah,tertekan dan tidak tenang apabila saya lewat solat,apatah lagi meninggalkan solat.

2.Maklang mengajar saya mengaji Al Quran dan beliau bertanggungjawab memaksa saya membaca at least 1 helai muka surat Al Quran setiap hari,dan kerana jasa beliau saya boleh membaca Al Quran sehingga hari ini.Setiap kali saya terbaca hadith lebih kurang berbunyi 'orang yang terbaik adalah mereka yang belajar dan mengajar quran',terus saya teringat maklang saya.Setiap hari dari dahulu sehingga hari ini setiap pagi dan petang akan ada budak-budak datang belajar mengaji dengan maklang.

3.Maklang akan paksa saya makan setiap hari dan selalu menyuap nasi ke mulut saya kerana saya tidak sempat makan untuk ke sekolah.

4.Bila saya sakit demam dan berdarah,maklang dan paklang yang beri rawatan first aid sehinggakan bila 'bibird' saya digigit tungau paklang lah yang membuangkan tungau tersebut menggunakan batang daun sireh.

5.Saya selalu ingat ketika kecil selalu paklang akan datang ke rumah selepas subuh untuk menjemput saya ke rumahnya semasa ayah sedang bertugas di Kem Butterworth dan ketika ayah berkursus di US untuk beberapa bulan.

p/s : Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka.Intan dan berlian pun tidak dapat menebus kepayahan mereka mendidik,mengasuh dan menjaga saya.
 

Saya sendiri banyak terhutang budi kepada Pak Lang. Sewaktu suami saya bertugas di Butterworth selama dua tahun, beliau lah yang menjemput saya dan anak bawa kerumahnya setiap pagi. Kemudian dia tolong hantar saya ketempat kerja di Ibusawat Kuala Pauh, Jalan Kuchai Lama. Pak Lang masa tu bekerja di Petaling Jaya. Waktu balik pula, Pak Lang akan datang menunggu saya balik pukul 5 petang. Pejabat kerajaan masa itu habis pukul 4.15. Saya swasta pukul 5 petang. Kawan-kawan saya selalu kata, kesian abang ipar saya tunggu dalam kereta. Masa itu saya belum berani memandu kereta. Jadi mengharap ihsan orang.

Sewaktu bekerja dulu, Pak Lang membuat pelbagai kerja untuk menambah pendapatan. Saya ingat Pak Lang berniaga ubi kayu, keledek dan buah-buahan dipasar malam. Hujung minggu pak Lang membantu Pak Aji mengendalikan kursus haji dan umrah. Bila Pak Lang bersara dan Pak Aji pula meninggal dunia, Pak Lang telah menyertai Syarikat Misbah Travel & Tours sepenuh masa. Sudah berbelas tahun beliau mengendalikan pekej haji dan umrah. Setiap tahun beliau berpeluang mengerjakan haji dan 3 - 4 kali mengerjakan umrah dala setahun. 

Memang perilakunya menyenangkan hati semua. Para jemaah cukup berpuas hati atas kesabaran beliau dan selalu mereka akan rekemen orang lain untuk menggunakan khidmat syarikat ini di bawah bimbingan Tn Hj Abd Rahman. Sesiapa yang ingin mengerjakan umrah dan haji dengan layanan terbaik dari Pak Lang boleh hubungi beliau 03-91724189.

Begitulah Allah memberi rezeki dalam pelbagai bentuk kepada hambanya yang solih dan ikhlas membantu orang.




CATATAN PENGALAMAN SEBAGAI WAKIL TAKAFUL

ENTRY 2

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera.

Pertemuan dengan Pn A pada awal 2003 telah mengubah kerier saya dari menceburi bidang multi level marketing (MLM) kepada seorang perunding kewangan. Dengan niat untuk memberi kesedaran kepada keluarga, rakan dan seterusnya masyarakat akan kepentingan pengurusan kewangan, maka saya secara rasminya menjadi seorang wakil Takaful Nasional pada Jun 2003 dengan Kod WAS06878.

Pengalaman dalam MLM banyak membantu saya dalam bisness baru ini. Saya diajar untuk menerima banyak penolakan sebelum berjumpa yang berminat. Saya tidak menyalahi mereka yang menolak. Selama ini saya juga sering beranggapan bahawa Takaful atau insuran ini cuma dapat faedah bila kita meninggal dunia sahaja. Rupanya banyak faedah lain yang kita perolehi dengan menyertai takaful. Inilah tanggungjawab saya. Memberi kesedaran dan berkongsi ilmu kepada seberapa ramai yang boleh. Setiap kali bila hendak keluar jumpa bakal pelanggan, saya niatkan untuk berkongsi. Samada dia berminat atau tidak itu adalah urusan Allah untuk buka hati dan mindanya. Dengan berpegang dan penuh yakin rezeki di tangan Allah, maka saya sentiasa tenang dalam menjalankan tugasan saya setiap masa.

Pada peringkat permulaan, saya menerima bantuan dari Pn A untuk membuat taklimat di pejabat. Sudah tentu tempat pertama yang saya pergi adalah Bahagian Pengurusan Harta, TM Taman Desa tempat saya berkhidmat selama lebih 20 tahun. Tempat saya mencari rezeki. Tempat rakan-rakan seperjuangan. Saya ingin berkongsi manafaaat takaful ini kepada kawan-kawan yang saya sayangi. Saya ceritakan kebaikan menyimpan dimana disamping ada simpanan untuk hari tua, kita juga ada perlindungan disegi kewangan sekiranya berlaku musibah. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan dan bekas boss saya menyertai pelan simpanan ini. Tidak kurang dari 10 polisi yang di tandatangani pada hari tersebut.

Saya masih ingat kata-kata arwah Kak Z. " Dalam keluarga akak ni ada sejarah kena kanser. Akak takut kalau akak juga akan kena penyakit tersebut". Saya sarankan Kak Z ambil pelan simpanan, perlindungan, elaun hospital dan penyakit kritikal. Masa itu syarikat belum lagi mengeluarkan Pelan Medikal Kad. Dengan kehendak Allah, memang Kak Z diuji dengan penyakit tersebut dan telah meninggal dunia lebih kurang dua tahun lepas. Al-Fatihah untuk arwah. Moga Kak Z tenang disana bersama golongan orang-orang yang beriman. Kak Z rakan karib tempat saya berkongsi segala-galanya sewaktu kerja dahulu. Meninggal pada usia 56 tahun. Dengan pelan takaful yang diambil dapatlah membantu meringankan sedikit bebanan kewangan keluarga dalam proses berusaha untuk menyembuhkan penyakit arwah.

Sepanjang menjalankan bisness takaful ini, agak-agak bilakah masa yang saya paling suka ? Ya, sewaktu saya dapat menyerahkan cek dari pihak Takaful kepada peanggan saya. Tidak kiralah cek sebab masuk hospital ke atau cek kepada waris yang ditinggalkan. Bukannya saya suka pelanggan meninggal tetapi saya suka kerana dapat menunaikan impian pelanggan untuk meninggalkan sedikit kewangan kepada waris mereka. Kesedihan sebab kehilangan orang yang disayang memang kita rasai tetapi lebih menyedihkan jika pemergian mereka tanpa meninggalkan apa-apa dan lebih parah jika meninggalkan hutang.

Atas semangat yang berkobar-kobar dalam mempromosi pelan takaful ini rupanya melayakkan saya naik pangkat sebagai Pengurus Agensi pada 2005. Satu tempoh yang boleh dibanggakan bagi seorang wanita beusia 46 tahun. Untuk kemudahan wakil di bawah Agensi Rahmah, maka saya menyewa satu ruang pejabat di No 45-1, Jalan Permaisuri 8, Bandar Sri Permaisuri. Lebihkurang dua kilometer dari rumah. Memandangkan pejabat ini berhampiran JPJ, maka saya pun memohon menjalankan perniagaan Takaful Am. Memperbaharui insuran kereta, takaful kediaman dan personal accident.

Apakah cabaran menjadi Pengurus Agensi ? Dan apakah cabaran-cabaran lain dalam perniagaan ini.