Pages

Wednesday 25 February 2015

AKU SURI JAGA RUMAH

Entry ke 4

Teks : RAHMAH YAAKOB

Setelah lima hari berumahtangga di hotel, akhirnya barang-barang kami sampai dari semenanjung. Dan kami bersiap sedia untuk berpindah ke rumah baru kami.

Maka bermulalah kehidupan saya sebagai surirumah sepenuh masa. Setelah 30 tahun terkejar ke sana kemari mencari rezeki bagi menambah pendapatan untuk keluarga. Iya lah. Masa bertugas di Telekom, mengejar 'date line' untuk menyiapkan lapuran projek dan lapuran kewangan. Penyediaan Rancangan Perniagaan, penyediaan tender dan penilaian tender. Semuanya ada matlamat masa yang perlu disiapkan.

Berbeza pula bila menjalankan perniagaan sendiri sebagai Pengurus Agensi. Ada juga matlamat yang perlu dicapai. Ada jumlah FYCC (First Year Collected Contribution)  iaitu jumlah kes dan bayaran pelanggan takaful yang perlu dicapai untuk mengekalkan kontrak sebagai pengurus agensi.

Pelbagai aktiviti perlu disusun dan dilaksanakan bersama para wakil. Pelbagai cara untuk menambah bilangan wakil dan memastikan pengekalan wakil sedia ada. Tambahan dengan bertambahnya lesen Takaful yang dikeluarkan oleh Bank Negara kepada syarikat-syarikat insuran.  Maka persaingan wujud. Ada persaingan yang sihat dan ada juga yang kurang sihat. Tetapi atas keyakinan rezeki di tangan Allah maka saya tetap teruskan perjuangan dan tujuan asal untuk berkongsi ilmu berkenaan takaful kepada masyarakat.

Tetapi dengan penghijrahan ini saya pasrah dan tidak mahu memikirkan tentang pengekalan kontrak saya sebagai Pengurus Agensi. Saya benar-benar ingin terbang bebas dari cengkaman kerja. Saya ingin menikmati kehidupan yang baru ditempat dan suasana baru. Sesuatu yang indahnya karier sebagai wakil takaful ini, walau pun kita tarik hand brake sekejap, komisyen tetap berjalan atas polisi yang belum mencapai enam tahun. Jadi saya tetap juga mendapat komisyen setiap bulan atas polisi pelanggan-pelanggan saya. Boleh lah juga digunakan untuk membayar tambang ulang alik saya dari Sandakan ke K. Lumpur.

Kini, saya di tempat baru. Tiada teman seperjuangan. Tiada kenderaan untuk kesana sini kerana hanya kereta suami sahaja yang di bawa ke sini. Kereta saya di tinggakan di semenanjung untuk kegunaan bila balik ke sana sekali sekala nanti. Maka rasmilah saya menjadi suri yang duduk di rumah menunggu encik suami balik kerja :)  Ibarat baru berumah tangga pula kerana anak-anak semua nya di destinasi masing-masing. Berada di empat penjuru yang berlainan. Seorang di Kuala Lumpur mengambil alih perniagaan Takaful Am saya, seorang di Sesta Tapah, seorang di UITM Jengka, Pahang dan seorang lagi di Universiti Alexandria, Mesir.

Saya rasakan suri rumah yang lain masih sibuk dengan tanggung-jawab membesarkan anak-anak. Saya pula Allah berikan rezeki dengan masa yang terluang dan hidup yang tenang. Tiada 'date line' dan tiada sasaran perniagaan yang perlu dipenuhi, Saya mesti bijak dan menghargai kurniaan Allah ini. Rugi kalau saya sia-siakan. Boleh sahaja saya lepak depan peti televisyen dari pagi sampai petang. Atau berbaring-baring memanjakan diri. Lima tahun begini ? Mahu nantinya saya 'membesar' dua kali ganda dari saiz sekarang. Jadi mem besar :)  Setakat berkemas rumah yang kecil ini, 10 minit sudah memadai. Membasuh untuk pakaian dua orang. Memasak. Makan minum. Oh tidak ! Sesuatu harus di fikirkan supaya lima tahun di sini di manfaatkan.

Apa dan bagaimana ? Tungguuuuuuu....

No comments:

Post a Comment