Pages

Showing posts with label SANDAKAN OH SANDAKAN. Show all posts
Showing posts with label SANDAKAN OH SANDAKAN. Show all posts

Thursday, 26 March 2015

LAMBAIAN SABAH - GUNUNG, PULAU, HUTAN, MUTIARA

Entry ke 39

Teks : RAHMAH YAAKOB


Bumi Sabah memang kaya dengan daya tarikan yang asli. Tidak hairanlah ia merupakan destinasi yang selalu menjadi pilihan untuk percutian baik dari Semenanjung atau pelancong luar negeri. Tarikannya merangkumi gunung, pulau, hutan, mutiara, hidupan liar dan sebagainya.

Tarikan utama sudah semestinya Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.  Tingginya 4095m dari paras laut.. Nama gunung ini  begitu terkenal sehingga ibu negeri Sabah ditukar dari Jeselton kepada Kota Kinabalu pada tahun 1964. Gunung KInabalu juga dinobatkan sebagai World Heritage pertama di Malaysia pada Disember 2000. Ia mengambil masa lebihkurang dua jam dari Kota Kinabalu untuk sampai ke Kinabalu Park, kawasan sekitar kaki pergunungan ini. Sedikit bayaran dikenakan dipintu masuk ke kawasan Kinabalu Park ini.

Ramai pengunjung yang datang ke sini bukanlah untuk mendaki gunung tapi sekadar untuk menikmati keindahan dan kedamaian tempat ini. Saya dan keluarga antara yang datang cuma untuk melawat. Mungkin kalau 10 tahun dulu masih ada kudrat untuk mendakinya :)





Selepas melawat Kinabalu Park ini, tidak sah jika tidak pergi ke Kundasang lebihkurang 6 kilometer dari sini. Saya cadangkan bermalam disini sehari dua. Banyak hotel, resort dan homestay yang disediakan disini. Kunjungan pertama saya dulu duduk di Homestay di Masilau. Kunjungan kedua kami bermalam di Dream World Resort betul-betul bertentangan dengan Gunung Kinabalu. Subhanallah, cuaca sangat dingin dan pemandangan sangat indah. tidak tergambar dengan kata-kata. Diawal pagi selalunya jelas kelihatan sehingga ke puncak gunung tersebut. 



Disini boleh juga melawat kawasan ternakan dan tempat memproses susu lembu.  Seumpama pemandangan di New Zealand kata anak saya. 



Ada kebun bunga dan kebun sayur-sayuran. Sayur-sayuran yang segar boleh dibeli di gerai yang berderetan ditepi jalan. 

Satu lagi tempat yang saya kunjungi yang berhampiran adalah Kg. Muranti. Terkenal dengan ikan yang jinak bermain-main dikaki kita. Poring Hot Spring juga berbaloi untuk dilawati. jaraknya lebihkurang 40 km dari Kinabalu Park. (maaf, saya belum berkesempatan kesini akibat kesuntukan masa). Kalau berkesempatan boleh juga singgah di Sabah Tea Plantation pekena teh tarik Sabah. Rahmah, tak habis-habis dengan teh tariknya :)

Sekarang kita tinjau pula pulau-pulau yang menarik di negeri bawah bayu ini. Jika di Kota Kinabalu kita boleh pergi ke rangkaian 3 pulau terkenal iaitu Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Mamutik. Menaiki bot lebihkurang 15 minit sahaja dari Jeti Jeselton. Didalam bot ditawarkan sewaan alat-alat untuk menyelam. Di pulau ini kita boleh menyelam untuk melihat ikan dan coral. Saya yang tidak pandai berenang ini pun begitu seronok menyelam dan melihat ikan berenang begitu dekat dengan kita. Dan waktu balik, boleh singgah di Restoran Minang di Jeti yang ada resepi Ikan Terbang. Sungguh sedap :)

Setelah kita melawat gunung dan pulau, mari kita terokai pula apa yang ada di bandar Kota Kinabalu ini.
Jika kita melawat mana-mana tempat, sudah pasti kita ingin membeli buah tangan untuk dibawa balik. Di bandar ini terdapat kedai-kedai menjual pelbagai produk seperti ikan masin, ikan bilis dan udang kering yang bergred tinggi dan lain-lain lagi. Harga yang dijual adalah berpatutan. Jika membeli pastikan kita menawar harga takut kita ditipu dengan harga yang tinggi. 
Satu lagi tempat mesti  shopping adalah Pasar Kraftangan atau tempatan memanggilnya pasar Pilipina. Ia bersebelahan dengan pasar ikan masin tadi. Yang sukakan mutiara, keronsang dan kraftangan banyak terdapat di sini. Sila borong Keronsang dengan mutiara yang asli yang murah-murah untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan dan saudara.  Tetapi kena pandai menawar harga. Jika dipasar malam mungkin boleh dapat harga yang lagi murah.

Jika berkesempatan boleh pergi ke Pantai Tanjung Aru bersebelahan dengan lapangan terbang. Pantai yang sangat cantik pemandangannya. Juga boleh melawat Universiti Malaysia Sabah.









Sunday, 22 March 2015

MENARIK DI SANDAKAN - REINFOREST DISCOVERY CENTRE

Entry ke 33

Teks : RAHMAH YAAKOB


Salam sejahtera.

Sambungan tempat menarik di Sandakan. Selepas kita melawat OrangUtan, kita teruskan lawatan di Rainforest Discovery Centre yang jaraknya cuma 2 km sahaja dari Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre.

Antara yang menarik disini adalah :-

Dewan Pameran (Exhibition Hall)

Disini banyak  maklumat berkaitan jenis-jenis hutan dan tumbuhan serta haiwan yang ada dihutan berkenaan. Bagus untuk menambah pengetahuan am kita. Sewaktu saya datang dulu, ada rombongan sekolah yang sedang menjalankan aktiviti di dalam dewan pameran ini.


‘Plant Discovery Garden’. 

Tempat yang mesti dikunjungi oleh pencinta bunga dan tanam-tanaman. Terdapat lebih dari 250 spesis orkid ada ditanam di sini. Pelbagai jenis pokok bunga, pokok herba dan ulaman terdapat di sini.  

Reinforest Discovery Walk


Canopy Walkway

Pelantar sepanjang 347 meter ini memberi peluang kepada kita menikmati pemandangan hutan Sepilok pada ketinggian 25 m dari aras tanah. Kita juga berpeluang melihat pelbagai jenis burung, tupai dan lain-lain ‘wildlife’. Sejuk mata memandang kehijauan hutan ditambah dengan angin yang menyapa sejuk di atas sana.

Titian berayun di atas tasik

Kita juga berpeluan menyeberangi tasik yang indah melalui titi berkenaan. Pengalaman yang seronok bila titi itu berayun-ayun ketika kita melintasinya. Bagi yang kurang berani terjerit-jerit cemas :)


Berkayuh Bot

Aktiviti  ini cuma ada sewaktu hujung minggu dan cuti am sahaja.


Tidak rugi kita bermesra dengan hutan dan lari sebentar dari hiruk pikuk kota. Udara pun nyaman dan bersih. 

Waktu lawatan : 8.00 pagi – 5 ptg (setiap hari)

Bayaran masuk : 

Kanak-kanak (5 – 17 thn) - RM3.00
                            
Dewasa                            - RM7.00    


Tel : 089-533780/1


Saturday, 21 March 2015

TEMPAT MENARIK - AGNES KEITH HOUSE DAN SEPILOK ORANGUTAN REHABILITION CENTRE

Entry ke 17

Teks : RAHMAH YAAKOB

Assalamualaikum semua,

Sejak menjadi warga Sandakan ini ada beberapa kali saya berkesempatan melawat beberapa tempat yang menarik di sini. Ya lah, nanti kalau ada saudara mara atau kawan dari Semenanjung datang boleh lah saya jadi pemandu pelancung tidak rasminya.

AGNES KEITH HOUSE

Tempat pertama yang saya akan bawa adalah sebuah rumah yang ada kaitan dengan sejarah dahulu. Rumah ini dahulu dimiliki oleh  'Conservator Of Forests, Harry Keith dan isterinya seorang penulis dari Amerika bernama Agnes Keith. Mereka mendiami rumah ini dari tahun 1930 hingga 1942. Rumah ini  terletak di puncak bukit melalui Jalan Istana  mengadap Sandakan Bay.

Pemandangan dari atas bukit ini sangat cantik. Kita dapat melihat nun jauh saujana mata memandang kebiruan laut dan bandar Sandakan. Sesiapa yang ingin minum English Tea juga ada disediakan disini sambil duduk-duduk menghirup udara segar.


SEPILOK ORANG UTAN

Orang Utan dengan sifat pemalu dan lembut jarang dapat dilihat secara bebas. Tetapi suatu tempat yang kita dapat melihat orang Utan ini adalah di Sepilok Rehabilitation Centre. Ia terletal lebihkurang 40 minit dari bandar Sandakan. Penempatan ini dulu dibuat untuk menjaga anak-anak orang utan yang terbiar dari kawasan pembalakan, kawasan plantation dan juga akibat pemburuan secara haram. Mereka dijaga sehingga boleh dilepaskan bebas kedalam hutan.

Disini kita dapat menyaksikan orang utan keluar untuk makan buah-buahan yang disediakan oleh penyelia penempatan ini.  Jika bernasib baik kita dapat menyaksikan berbelas-belas ekor orang utan yang keluar. Nasib kurang baik cuma tiga empat ekor sahaja yang keluar.

Pusat ini dibuka dari 9 pagi hingga 12 tengahari dan 2 ptg hingga 4 ptg (setiap hari ) kecuali Jumaat 9 pagi hingga 11 pagi dan petang masa yang sama.

Waktu makanan di beri adalah pukul 10 pagi dan 3 petang. Digalakkan datang 30 minint sebelum waktu tersebut.





Tuesday, 24 February 2015

MERISIK KHABAR

Entry kelapan

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera

Terima kasih kepada yang sudi mengikuti pengembaraan musafir ini di bumi Sandakan.

Hari kedua kami berpeluang buat peninjauan di bandar ini yang bakal menjadi kediaman kami selama lima tahun lagi. Terima kasih kepada seorang pegawai APMM En Mat yang bermurah hati meminjamkan kami kereta isterinya sehingga kereta kami tiba. Kebetulan isterinya balik bercuti ke semenanjung.

Tempat pertama yang kami tuju semestinya lah rumah yang bakal kami diami. Sebelum datang ke sini, suami telah meminta bantuan pegawai di sini untuk mencarikan rumah yang sesuai untuk kami. Kriteria yang di minta adalah rumah yang berhampiran dengan pejabat APMM dan berdekatan dengan masjid. Rumah sederhana besar kerana cuma saya dan suami sahaja bakal penghuni tetapnya. Anak-anak mungkin datang bercuti sekali sekala sahaja.

Kami tiba di rumah yang telah di 'booking' oleh pegawai tersebut  Sebuah apartment di Tkt 2, Yii Villa Apartment di Sim Sim. Alhamdulillah menepati kriteria kami. Berhampiran Masjid Sandakan tetapi tidaklah dekat yang membolehkan berjalan kaki.

Tempat kedua kami meninjau pejabat suami dan persekitaran bandar. Seterusnya saya meminta suami mencari pejabat Etiqa Takaful Cawangan Sandakan. Cinta pada Etiqa masih menebal di hati. Saya sempat berkenalan dengan beberapa kakitangan yang bekerja di situ. Mereka sangat peramah dan terasa saya di alu-alukan di sini. Alhamdulillah nampaknya saya masih boleh lagi membuat aktiviti yang diperlukan seperti membuat servis kepada pelanggan takaful saya, membuat pembayaran dan menghantar tuntutan dari pelanggan. Bab servis kepada pelanggan ini memang yang paling saya utamakan.

Peninjauan diteruskan lag. Pasar besar Sandakan. Wah, bestnya. Ikan, udang, sotong dan ketam yang masih segar dan ada yang menggeletek lagi. Harga pun murah dari semenanjung. Bayangkan masa itu ikan kembung sekilo RM5.00 sahaja. Ikan bilis dan udang kering yang segar. Nampak gayanya kena jadi chef mencari resepi seafood yang enak :)

Tidak lupa juga tempat yang mesti di cari. PERPUSTAKAAN. Satu kemestian kerana saya akan punyai banyak masa yang terluang. Masa ini lah di perantauan ini, saya akan dapat membaca sebanyak mungkin. Syukur, perpustakaan yang sederhana besarnya ini terletak berdekatan pejabat suami dan betul-betul di pinggiran laut. Di sini tiada rumah air yang didirikan. Bayangkan saya membaca di sebelah pandangan yang membiru. Sunnguh romantik. Nampaknya akan ada keseronokan yang bakal saya kecapi d bumi ini.

Cukup dulu setakat ini perkenalan awal dengan Sandakan. Masih banyak lagi akan di terokai.



Monday, 23 February 2015

BERMULANYA PENGHIJRAHAN

Entri Ketujuh

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera semua.

Disember 2011, saya , suami dan Noor Hidayah dengan rasa yang bercampur aduk menaiki pesawat menuju ke destinasi baru yang begitu asing bagi saya. Noor Hidayah ikut sekali sementara cuti persekolahan masih ada. Suka, sedih, penuh harapan dan optimis. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke bandar ini. Walaupun sewaktu bekerja di Telekom Malaysia dulu saya kerap ke negeri Sabah memantau projek tapi Sandakan tidak pernah lagi saya pergi.

Melihat pada peta,  Sandakan letaknya nun di hujung atas sebelah timur Sabah. Bandar yang terletak di pinggiran laut. Dalam hati terdetik, wah tentu menarik. Saya bayangkan dapat bersiar-siar di tepian pantai menghirup udara nyaman di waktu petang.

Penerbangan lebihkurang 2 jam 50 minit dari KLIA. Agak jauh juga destinasi kami ini. Kami berpeluang  melintasi puncak Gunung Kinabalu dalam perjalanan ini. Indah sungguh pemandangan dari udara ke atas puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. Setinggi 4095 meter dari aras laut. Akhirnya kami mendarat di lapangan terbang Sandakan. Memang tidak pernah saya jangkakan saya bermusafir di usia begini. Namun saya redha dengan perancangan Allah ini. Kemungkinan saya akan menjadi warga Sandakan selama lima tahun mengikut kebiasaan sistem penjawatan di APMM setakat ini.

Kami menaki teksi menuju ke Sabah Hotel. Disinilah kami akan menginap sementara menunggu barang-barang kami termasuk kereta sampai dari Semenanjung. Sebenarnya  barang-barang ini telah dihantar terlebih dahulu menggunakan kapal tetapi agak lewat tibanya. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, saya agak kagum kerana saya bayangkan sebelum ini Sandakan cuma sebuah bandar kecil. Rupanya Sandakan sebuah bandar yang agak besar juga. Rasanya bandar kedua tebesar di Sabah selepas Kota Kinabalu. Dan satu yang saya amat seronok, perjalanan begitu lancar. Tiada kesesakan lalulintas disini sesuatu yang begitu sinonim dengan Kuala Lumpur.

Memang kami lalui juga pesisiran pantai di beberapa tempat. Tapi sayang harapan saya untuk bersiar-siar di tepian pantai musnah berterbangan. Pantai yang sepatutnya  indah dipenuhi dengan rumah-rumah air yang di sepanjang pantai. Ada yang berselerak dan ada yang tersusun. Difahamkan yang tersusun ini ada kelulusan seperti geran. Yang berselerak itu adalah penempatan 'tidak sah'. Hibanya hati ini menyaksikan  pencemaran  keindahan alam semula jadi ciptaan Allah ini.

Banyak lagi yang menanti di Sandakan ini untuk diterokai dan akan saya kongsikan untuk kita mengenali Sandakan dan lain-lain tempat menarik di negeri di bawah bayu ini. Tungguuuuuuu....