Pages

Sunday 1 March 2015

MASA ITU EMAS

Entry Keduabelas

Teks : RAHMAH YAAKOB


Januari 2012, secara rasminya saya menjadi seorang surirumah. Perubahan gaya hidup yang baru ini memerlukan perancangan yang teliti agar saya tidak mensia-siakan peluang yang Allah berikan ini. Ini merupakan satu rezeki YANG AMAT BERHARGA. Rezeki dari segi kelapangan masa. Bukan semua orang berpeluang menikmati rezeki ini. Ada yang dipanggil awal sebelum bersara. Ada yang bersara awal disebabkan sakit. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yag kamu dustakan.

Dengan usia saya yang telah melebihi angka 50, sewajarnyalah saya lebih menumpukan persediaan untuk hari kemudian. Tingkatkan ilmu dan amal. Begitu banyak ilmu yang perlu di pelajari. Bak kata pepatah, jika kita tidak mengajar maka kita perlulah belajar.

Ilmu boleh diperolehi dengan pelbagai cara. Antaranya di dalam rancangan televisyen banyak yang bagus untuk di tonton. Kalau sebelah pagi, Tanyalah Ustaz satu rancangan yang mesti diikuti. Pelbagai tajuk dan persoalan dikongsi oleh ustaz-ustaz yang berwibawa. Tanyalah Ustazah, Bila Dah Jodoh Ustaz Kazim, Halaqah, Ehwal Perdana dan banyak lagi.

Kedua, ilmu boleh di asah melalui pembacaan. Kitab Al-Quran Terjemahan  mengandungi terlalu banyak ilmu yang boleh diambil. Disamping kita membaca surahnya, kita perhatikan juga maksud atau terjemahannya. Ilmu Allah tidak akan pernah habis untuk di gali. Semakin banyak kita gali, semakin kerdil rasa diri ini. Banyak kisah-kisah umat terdahulu yang boleh dijadikan tauladan. Banyak janji-janji Allah dengan balasan yang baik dan balasan yang menakutkan buat pedoman kita menjalani kehidupan ini.

Tetapi bab Al-Quran ini, saya rasakan lebih afdal jika dapat berguru secara bersemuka dengan guru yang bertauliah. Alhamdulillah, suami dan saya dapat mengaji dengan Ustaz Yaacob Labis di Karamungsing dihujung minggu. Seorang ustaz yang banyak pengalaman dan sudah berusia. Disamping mengaji, ustaz Yaacob banyak memberi ilmu sebagai orang lama yang banyak pengalaman.

Disamping Al-Quran, kita ada kitab-kitab tafsiran hadith. Ini bagi mengukuhkan lagi disamping penjelasan yang lebih terperinci akan hukum hakam yang terdapat di dalam Al-Quran.

Dan kita juga digalakkan menuntut ilmu dunia bagi kemasalahatan kita didunia ini.  Saya ambil peluang dengan masa yang terluang ini dengan mengunjungi perpustakaan. Walau pun perpustakaan di Sandakan ini tidak lah sehebat di Kuala Lumpur, namun ada banyak buku yang saya masih belum baca. Dengan mendaftar tiga kad perpustakaan, saya boleh meminjam 18 buku pada satu-satu masa ! Apa lagi. Pencinta buku. Buku motivasi, buku bab kewangan, buku-buka agama dan juga novel-novel yang menarik. Maka di awal menjadi penghuni Sandakan ini saya banyak menghabiskan masa di sini. Sungguh tenang dan bahagia rasanya.

Selain memenuhi masa dengan bacaan, saya tetap tidak mengabaikan hubungan dengan masyarakat tempatan. Saya mula berkenalan dengan jiran-jiran berdekatan. Ada yang dari semenanjung, dari Sarawak dan juga penduduk asal di sini. Kadang-kadang saya berkunjung ke rumah kakitangan APMM yang sudah berkeluarga. Sekurang-kurangnya merapatkan silaturrahim antara kami yang merantau ini.

Maka siapa kata suri rumah suatu karier yang membosankan ? Kita yang mencorakkan hari kita samada untuk disi dengan perkara yang berfaedah atau sebaliknya.






No comments:

Post a Comment