Pages

Monday 23 March 2015

SKIM CEPAT KAYA (P) BHG 2 - SONTOTAN EMAS

Entry ke 35

TEKS : RAHMAH YAAKOB


Terdahulu saya telah kongsikan skim-skim yang ada dalam tahun 2000 an. Skim emas yang pernah kena tindakan Bank Negara Malaysia adalah Etika Emas, Genneva dan beberapa lagi atas tuduhan pengambilan deposit wang haram.

Terkini pula skim yang melibatkan emas sekitar tahun 2013 hingga sekarang. Rakyat Malaysia termasuk saya telah mula menyedari akan kepentingan  membeli dan menyimpan emas pada sekitar tahun 2012. Saya mula berjinak dengan emas melalui syarikat Public Gold yang diperkenalkan oleh En Syukor Hasyim.

Kemudian dari hari kehari banyak syarikat Emas yang ditubuhkan. Pelbagai teknik diperkenalkan untuk mendapat keuntungan melalui pembelian emas ini. Salah satu teknik yang popular adalah teknik manipulasi melalui pajakan emas di ar-Rahnu. Disinilah  saya mula mengenali KB, TB, Cikgu F dan ramai otai yang bergiat dalam perniagaan emas ini. Saya kenal melalui pembacaan dan juga menghadiri seminar emas yang diadakan.  

Sekitar bulan Julai 2014 negara sekali lagi dilanda fenomena pelbagai skim yang melibatkan emas. Tawarannya memang amat lumayan dan menjanjikan keuntungan yang tinggi.  Namun hati saya tetap berat untuk menyertainya. Walaubagaimana pun  saya selalu mengikuti perkembangan program ini melalui perbincangan di ‘group’  Emas di fesbuk.

Antaranya saya nampak istilah yang diguna pakai ETA (Estimate Time Arrival), Delay dan pelbagai lagi. Secara mudahnya membeli emas tetapi terima lewat. Atas kelewatan ini peserta akan diberi ganjaran wang setiap bulan bergantung berapa lama tempoh untuk mendapat emas fizikal itu. Lagi lewat terima lagi tinggi ganjarannya. Promosi hebat untuk mendapatkan pelabur di buat di laman-laman sosial. Empunya syarikat mula berkongsi gambar-gambar kemewahan hasil perniagaan ini seperti rumah mewah, kereta mewah, timbunan duit dan lain-lain yang diperolehi hasil program emas ini. Tak heran lah kalau ramai yang berduyun-duyun masuk menyertai program ini.

Saya selalu ikuti perdebatan antara orang yang pro dengan skim ini dan orang yang menasihati agar menjauhi skim ini. Memang hangat kerana melibatkan hukum jual beli, pasal penasihat syariah dan perkara berkaitan.


Kemudian sekitar  Oct 2014, perkara yang dikhuatiri berlaku telah pun berlaku.  Satu fenomena yang terkenal dengan panggilan sontotan emas besar-besaran.  Ramai pelabur tidak lagi menerima pulangan bulanan yang dijanjikan. Akhirnya terbongkar rahsia bahawa teknik-teknik  yang di war-warkan selama ini tidak dipraktikkan oleh syarikat berkaitan. Malah syarikat yang terbabit berurus niaga dengan syarikat Emas di Singapura menggunakan duit pelabur-pelabur.  Bila syarikat di sana ditimpa masaalah maka ia memberi kesan terus kepada syarikat-syarikat emas negara kita yang berurus niaga dengan mereka.

Maka tercipta lagi satu sejarah orang ramai rugi berpuluh malah beratus ribu disebabkan skim yang menipu. Saya rasai keluhan dan rintihan mereka yang menjadi agen kepada syarikat terbabit. Dengan mereka sendiri menanggung kerugian ditambah pula diasak oleh peserta yang telah melabur melalui mereka. 

Begitulah kita yang selalu lupa sejarah. Skim tetap datang dan pergi cuma cara, produk atau modus operandinya yang sedikit berbeza. Semua nya berlaku kerana perasaan ingin cepat kaya.

No comments:

Post a Comment