Pages

Wednesday 11 March 2015

URUSLAH HARTA PUSAKA SEMASA HIDUP

Entry ke 22

Teks : RAHMAH YAAKOB



Setiap hari kita menerima berita kematian samada disebabkan sakit, kemalangan atau kematian biasa. Begitulah lumrah kehidupan. Setiap yang hidup pasti mati. Cuma masa, tempat dan bagaimana kematian kita yang tidak kita ketahui. Semuanya Allah yang telah tentukan. 
Mati bukanlah petanda terputusnya rahmat Allah. Sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah saw :-

" Bilamana anak Adam meninggal dunia, terputuslah segala pahala amalannya kecuali tiga perkara. Iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya".


Tiga perkara di atas patut kita usahakan semasa kita masih hidup agar menjadi sumber keberkatan selepas kita meninggal dunia nanti.

Dan seperkara lagi yang penting bagi setiap orang adalah penyediaan wasiat. Wasiat  adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.
Aset orang Islam yang meninggal dunia tanpa membuat Wasiat akan diagihkan kepada waris-waris mengikut Faraid iaitu Undang-undang Pewarisan Islam.
Waris telah ditetapkan dalam Islam. Suami,isteri, Ibubapa dan anak-anak yang sah (dengan syarat mereka beragama Islam) tidak terhalang sama sekali daripada mewarisi harta simati.

Golongan yang tidak dianggap sebagai waris  menurut Islam adalah anak angkat, anak luar nikah dan ibu bapa angkat. Adalah penting bagi penjaga yang ingin mewariskan harta mereka menyediakan wasiat bagi memastikan mereka mendapat harta yang ingin diberi kepada mereka.
Islam membenarkan orang Islam  Wasiat ke atas satu pertiga daripada hartanya kepada orang yang disayangi samada mereka Islam atau tidak atau untuk kebajikan asalkan ia menurut Syariah.

Harta yang kita tinggalkan juga boleh menjadi sumber keberkatan jika diurus dengan baik. Malah Al-Quran turut menerangkan secara terperinci cara menguruskan harta pusaka.


Banyak perbalahan berlaku antara anak-anak dan saudara mara akibat tidak membuat persiapan awal urusan harta pusaka ini.  Alangkah baiknya jika harta yang kita  bersusah payah kumpul masa hayat kita dapat terus membawa keberkatan kepada diri dan keluarga kita walaupun kita sudah meninggal dunia.


Urusan membuat wasiat ini adalah mudah sahaja. Mengikut pengalaman saya, kita cuma pergi berjumpa pegawai dimana-mana pejabat Amanah Raya Berhad atau boleh juga berurusan dengan syarikat yang membuat urusan wasiat ini seperti As-Solihin, Warisan Mukmin dan banyak lagi. . Ada borang yang perlu disi dengan beberapa maklumat yang berkaitan. Antaranya senarai harta kita dan kepada siapa kita akan bagi siap dengan peratus bahagiannya.



Selain wasiat kita juga boleh membuat hibah, perjanjian harta sepencarian dan lain-lain berkaitan harta peninggalan. Di dalam wasiat kita boleh juga menyenaraikan hutang kita atau hutang orang kepada kita. Apabila kita meninggal dunia, hutang piutang kita akan di selesaikan dahulu sebelum harta di agih-agihkan mengikut wasiat.

Jangan tunggu lagi. Aturlah harta kita kemana akan diberi agar tidak menjadi rebutan bila kita tiada lagi dibumi ini. Biarkan kita memudahkan waris-waris kita yang disayangi mendapat hak mereka. Semoga mereka akan hadiahkan amal buat pahala kita di sana. InsyaAllah.



No comments:

Post a Comment