Pages

Sunday 22 March 2015

HUTANG OH HUTANG

Entry ke 24

Teks : RAHMAH YAAKOB


Salam sejahtera.

Antara barah yang menjangkiti pengurusan kewangan kita adalah hutang.

Ramai dikalangan kita yang terjebak dengan hutang. Selalunya ia adalah disebabkan oleh nafsu yang mengikut kehendak bukannya ikut keperluan. Keperluan yang asas seperti rumah dan kenderaan adalah sangat penting dalam menjalani kehidupan. Maka ia dimaafkan dan selalunya di beri keutamaan dalam perancangan kewangan kita. 

Memandangkan harga rumah sekarang amat mahal, maka majoriti daripada kita  terpaksa mengambil pinjaman untuk mendapatkan sebuah rumah. Melainkan seorang yang  kaya dan ada punca pendapatan yang tinggi atau perniagaan yang berjaya mampu membeli rumah secara tunai. Ada juga yang lebih rela menyewa rumah dari mengambil pinjaman. Ini adalah atas perkiraan dan prinsip masing-masing.  

Bagi yang membuat pinjaman adalah disyorkan mengambil pinjaman yang diluluskan syariah atas konsep mudarabah. Ini merupakan hutang yang dibenarkan dan  ia juga dilindungi takaful. Sekiranya peminjam meninggal dunia sebelum tamat bayaran pinjaman, pihak takaful akan melunaskan semua hutang yang berbaki dan waris akan dapat rumah tersebut tanpa hutang lagi.

Satu lagi keperluan asas yang  terpaksa dimiliki ialah  kenderaan. Dikatakan terpaksa kerana ia adalah keperluan untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke rumah pengasuh atau  sekolah dan lain-lain. Pengangkutan awam memang boleh menjadi alternatif sekiranya lokasi dan masa nya bersesuaian. Contohnya di tempat saya, untuk ke stesyen LRT perlu ambil teksi terlebih dahulu. Kadang-kadang ada, kadang-kadang lewat. Maka mahu tak mahu kena juga gunakan kenderaan sendiri.

Jadi  ini juga menyebabkan ramai yang mengambil pinjaman kerana harga kereta juga sudah melambung tinggi dan kuasa menyimpan sangat rendah.  Hutang kenderaan ini selalunya tidak dilindungi takaful. Nanti ada pula yang kata, kereta memang kena ambil insuran untuk hidupkan cukai jalan. Itu takaful / insuran atas kereta. Yang saya maksudkan adalah takaful atas pinjaman kita membeli kereta itu. Contoh kereta Honda City sekarang RM90,000.00. Maka kita ambil pinjaman ansuran bayaran selama sembilan tahun maksima. Andainya kita sebagai peminjam meninggal dalam tempuh tersebut, maka hutang masih perlu dibayar oleh waris.  Pastikan kita ada simpanan atau takaful diri yang mana waris boleh gunakan untuk membayar baki hutang tersebut.

Maka hutang ini agak berbahaya sekiranya tiada perancangan yang telah dibuat dengan mengambil kira semua faktor.  Dan nilai kereta saban tahun akan menurun. Dan model kereta juga asyik bertukar begitu juga jiran, abang adik  dan rakan sekerja yang selalu menukar kereta. Ini semua mencabar kita. Kadang-kadang pinjaman bersambung-sambung dari satu kereta upgrade kepada kereta lain pula. Maka hidup selamanya tidak dapat bebas dari hutang akibat godaan untuk memenuhi kehendak yang tidak akan pernah puas. 



Satu lagi alternatif adalah dengan membeli dan menggunakan kereta terpakai. Tidor malam pun lena sebab tiada hutang yang perlu dirisaukan. :) Cuma pastikan kereta tersebut tidak pula memerlukan 'maintanance' yang tinggi akibat rosak atau perlu diservis selalu.

Dan hutang yang paling MENGERIKAN adalah hutang kad kredit. Ramai yang diisytiharkan muflis disebabkan kad kredit ini. Sebenarnya kad kredit ini direka untuk memudahkan kita. Tidak perlu membawa duit tunai yang banyak untuk berbelanja. Berikan sahaja kad plastik ni kepada juruwang, tandatangan dan sudah boleh bawa balik barang idaman kita. Tetapi AWAS. Jika anda berbelanja RM1000.00 maka bayarlah semula RM1000.00 sebelum cukup haul sebulan. Jika ini dapat dilakukan berterusan,  maka anda layak menggunakan 1 atau 2 kad kredit (pastikan yang Islamik). 

TETAPI jika kita kategori ikut arahan bayaran minima 5% sahaja dari jumlah hutang, maka disinilah mala petaka akan bermula. Faedah kad kredit adalah yang paling tinggi dibandingkan semua pinjaman yang lain iaitu sebanyak 18%. Dalam keghairahan kita berbelanja tanpa mengeluarkan wang akhirnya hutang dah sampai maksima. Kemudian kita ambil lagi kad kredit syarikat lain pula. Perkara ini berterusan sehingga anda dapat surat dari mahkamah kerana hutang sudah mencecah puluhan ribu. Jadi sebelum anda terjebak tanya diri boleh kah anda berdisiplin dalam penggunaan kad ini. Jika tidak, maka tindakan bijak adalah menggunting kad-kad tersebut dan mulakanlah membayar hutang yang sediaada. 

Antara peringatan yang boleh membantu kita :-

  • Ingat, kad kredit bukan wang percuma. Ia adalah wang bank  yang kita pinjam.
  • Hanya simpan satu atau dua kad, jangan sehingga enam atau tujuh kad
  • Elakkan berbelanja melebihi pendapatan anda. Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu membayarnya.
  • Gunalah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran servis yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali). Pastikan kad yang patuh syariah.
  • Bayar kesemua baki setiap bulan; tetapi jika ini juga sukar, bayar amaun lebih daripada amaun minima bulanan anda.
  • Jika tidak mampu berbuat semua diatas, nasihat saya sila gunting kad kredit anda.

Dan kalau kita berhutang, berniat dan berusahalah untuk membayarnya. Allah akan permudahkan insyaAllah. Kalau kita berhutang dengan seseorang, pastikan bayar seperti yang dijanjikan semasa berhutang. Kalau tidak dapat bayar dalam tempoh yang dijanjikan, beritahu orang itu minta tangguh. Jangan lah berdiam diri dan jangan kerana ini kita hilang kawan atau saudara. Takut jika kita meninggal sebelum hutang dibayar, roh kita tergantung-gantung. Nauzubillah.


No comments:

Post a Comment