Pages

Sunday 29 March 2015

SAYANG ABAH

Entry ke 44

Teks : RAHMAH YAAKOB

Assalamualaikum,

Tidak lengkap rasanya jika blog ini tidak berkongsi kisah seorang insan hebat yang banyak berjasa kepada diri ini. Jasa yang tidak boleh di balas walau dengan segunung emas. Saya ingin agar anak cucu yang tidak sempat bersama arwah tahu dan bangga punya seorang atuk yang hebat. Dan akan selalu menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada arwah.

Arwah Hj Yaakob bin Ahmad. Dilahirkan di Kampung Changgang, Johol. Mempunyai empat orang adik beradik. Dua lelaki dan seorang perempuan. Namun kini keempat-empat beradik ini sudah kembali ke rahmatullah. Abah telah berkahwin dengan mak saya Hjh Lipah seorang gadis sulung dari 8 beradik dari kampung bersebelahan, Kg. Melekai. Anak pak Imam.

Abah mulanya bekerja sebagai AC  kata orang kampung. Assistant Constable iaitu pembantu konstabel polis. Ada juga terdengar cerita bagaimana mak pernah duduk di barrack polis.  Akibat kemalangan, abah telah berhenti menjadi AC dan kembali ke kampung menjadi seorang petani. Semua kerja pertanian abah lakukan demi membesarkan kami enam orang adik beradik. Tak tahu nak kata samada abah beruntung atau sebaliknya mendapat anak kesemuanya perempuan. Yang sulung kak long Zainab, kedua kak Lang Juriah, ketiga Amok Badariah , keempat saya Atam, kelima Ateh Rohana dan keenam yang bongsu Acik Roshayati. (Tapi sekarang rasa beruntung juga kerana kami adik beradik bergilir menjaga emak selepas abah tiada lagi). Bukan nak kata anak lelaki tak boleh jaga, tapi rasanya anak perempuan lebih sesuai menjaga emak mereka. Tidak dinafikan ada juga menantu perempuan yang lebih baik menjaga mertuannya.

Masa kecil saya dikampung memang masa yang sungguh seronok. Hidup bergelumang lumpur di sawah, bermain ikan dikolam, makan bekalan di pondok kecil ditengah sawah padi yang kekuningan, membawa lembu mencari makan dipadang ragut dan sekali sekala mengikut abah ke kebun getah membantu mana yang boleh. Abah seorang yang tidak banyak bercakap. Cakap bila perlu sahaja. Tapi kasih sayang kepada kami adik beradik melimpah ruah. Masih saya rasa kasar tangan abah membasuhkan muka saya di pagi yang hening ditepi perigi. Ni mesti kes mogok tak nak mandi sendiri....bayangkan sejuk dingin nyamannya kampung hingga ke tulang hitam :)

Pagi-pagi hari abah akan ke kebun getah selepas memastikan anak-anak semua sudah kesekolah. Hampir tengahari abah akan balik menjual getah dipekan dan membawa ikan untuk dimasak. Masa itu peti ais belum ada (elektrik pun tak ada lagi) jadi terpaksa ke pasar selalu. Kadang-kadang ikan yang dibeli lebih akan disalai diatas bara supaya boleh tahan lama. Tapi memang sedap ikan salai masak lomak cili padi...makanan yang membesarkan saya selama ini. 

Selepas solat, makan dan berehat , sebelah petang pula abah akan ke sawah padi atau pun mencari rumput untuk makanan lembu peliharaan kami. Sebelah malam abah ada juga mengajar mengaji. Tetapi kami dihantar juga mengaji dengan arwah datuk kami Imam Hj Che Mek. 

Apa istimewanya arwah abah ? Abah jarang marah atau merotan kami tanpa sebab. Melainkan kami bergaduh adik beradik. Saya ingat sekali sahaja abah merotan saya sebab liat nak pergi mengaji..tapi dengan itu saya alhamdulillah dapat mengaji dengan tajwid yang baik. Abah seorang yang tenang. Abah seorang yang sabar. Bila emak membuka mulut, abah tidak akan membalasnya. maka cepat reda kegawatan tersebut. 

Dalam masyarakat pula, abah seorang yang disenangi dan dihormati. Selalu anak buah abah datang kerumah meminta nasihat dan bantuan. Abah seorang yang banyak pengetahuan berkenaan sejarah adat istiadat dan juga asal usul kampung ini. Ramai pengkaji sejarah yang datang menemuramah abah.

Abah telah dilantik menjadi Datuk Jenang satu jawatan yang sangat penting dalam sistem adat istiadat dan kaitannya dengan perlantikan Datuk Undang. Jawatan ini hanya boleh disandang oleh lelaki yang paling berwibawa dari suku Jenang. Semenjak menyandang jawatan tersebut, hubungan abah dengan datuk Baginda dan Datuk Undang sangat akrab. Abah dikurniakan pingat PMC (Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat) pada tahun 2001. Abah menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan berkarisma. Walaupun abah boleh jadi kaya raya berbekalkan jawatan ini tetapi abah tidak pernah mahu ambil kesempatan. Abah rela bekerja dengan titik peluh sendiri selagi termampu untuk menyara kami.


Alhamdulillah kami yang terdidik dengan baik dan dibesarkan dengan wang hasil titik peluh abah semuanya insyaAllah menjadi anak-anak yang solihah. Dan abah juga punya menantu yang semuanya baik belaka. Kami tetap akan mengingati dan mendoakan abah agar ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Moga kita akan dipertemukan lagi dan dapat bersama di syurga nanti. Aamiin.
 




















No comments:

Post a Comment