Pages

Friday 6 March 2015

TANDUO - PENGALAMAN YANG MENAKUTKAN

ENTRY KE 19

Teks : RAHMAH YAAKOB


Feb 2013. 

Satu kejadian hitam dalam sejarah negara telah berlaku di Lahad Datu. Kami di Sandakan juga menerima tempiasnya kerana kami berdekatan dengan Lahad Datu. Kedudukan Sandakan sendiri ditepi laut memang tempat yang strategik berlakunya serangan. 

Saya yang baru berada di Sandakan satu tahun 3 bulan memang tidak menyangka akan merasai pengalaman ini. Bayangkan masa itu, kita tidak kenal mana satu jiran mana satu pihak lawan. Di tempat saya tinggal masa itu, terdapat pelbagai etnik dan kaum tinggal berhampiran. Ada yang dari Sulu, ada yang penduduk asal disitu. Masa itu agak sensitif bila dikaitkan dengan Sulu. Kerana penyerang diberitakan berasal dari Suluk.  Ditambah dengan pelbagai khabar angin yang disebarkan melalui intenet.  Setiap saat kami berasa takut kerana terdengar berita yang mereka juga akan membuat serangan disini bila-bila masa sahaja. Saling curiga mencurigai. Tidur malam dalam kegelapan. Hati sentiasa berdebar-debar. 

Begini rupanya perasaan orang yang ditimpa peperangan. Suami saya yang bekerja di APMM memang dua puluh empat jam berada mengawasi operasi di pejabat. Saya dinasihatkan tinggal mengunci diri di dalam rumah. Dengan hati dap..dap..dap..setiap saat. Hanya berdoa kepada Allah agar kami semua dipantai Timur Sabah ini dilindungi dari sebarang serangan. Bagi isteri anggota yang mempunyai anak-anak kecil, mereka dinasihatkan berkumpul dalam sebuah rumah. Sekurang-kurangnya dapat menguatkan semangat bila bersama-sama.

Sedikit mengenai krononji peristiwa tersebut. Mungkin fakta yang saya berikan ini ada yang tidak tepat tetapi sebagai pandangan kasar dari apa yang saya dengar dan lalui sendiri. 

Pada  9 Feb 2013, kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung Tanduo, Lahad Datu sebagai pangkalan mereka. Pada 11 Feb 2013, Pasukan keselamatan Malaysia mula mengepung kawasan berkenaan. Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
    
Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu. Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan untuk pengusiran mereka.

Rundingan tidak berhasil berakhir dengan beberapa orang telah terbunuh ketika penceroboh dari kesultanan Sulu berbalas tembak dengan pasukan keselamatan Malaysia.
    
1 Mac - Polis mengesahkan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan itu.

2 Mac - Keadaan bertambah kronik bila seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

5 Mac - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan tentera dan polis di kawasan kampung itu.

5 Mac  – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

5 Mac (1.30 tengah hari) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.


Alhamdulillah segalanya berakhir dengan selamat. Banyak perkara yang dapat dijadikan ikhtibar dari kejadian ini. Pihak keselamatan kita, tentera dan polis dapat meningkatkan kecekapan dan persediaan dalam menghadapi musuh negara. Pengeluaran minyak sawit, aktiviti menangkap ikan dan pelaburan syarikat Amerika Syarikat dalam penternakan udang galah kembali pulih di Lahad Datu setelah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ditubuhkan untuk memperkukuh keselamatan darat dan perairan di timur Sabah. 

Kita mengucapkan takziah kepada anggota tentera dan polis yang terkorban dalam kejadian itu. Al-Fatihah untuk mereka.

No comments:

Post a Comment