Pages

Monday 23 February 2015

BERMULANYA PENGHIJRAHAN

Entri Ketujuh

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera semua.

Disember 2011, saya , suami dan Noor Hidayah dengan rasa yang bercampur aduk menaiki pesawat menuju ke destinasi baru yang begitu asing bagi saya. Noor Hidayah ikut sekali sementara cuti persekolahan masih ada. Suka, sedih, penuh harapan dan optimis. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke bandar ini. Walaupun sewaktu bekerja di Telekom Malaysia dulu saya kerap ke negeri Sabah memantau projek tapi Sandakan tidak pernah lagi saya pergi.

Melihat pada peta,  Sandakan letaknya nun di hujung atas sebelah timur Sabah. Bandar yang terletak di pinggiran laut. Dalam hati terdetik, wah tentu menarik. Saya bayangkan dapat bersiar-siar di tepian pantai menghirup udara nyaman di waktu petang.

Penerbangan lebihkurang 2 jam 50 minit dari KLIA. Agak jauh juga destinasi kami ini. Kami berpeluang  melintasi puncak Gunung Kinabalu dalam perjalanan ini. Indah sungguh pemandangan dari udara ke atas puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. Setinggi 4095 meter dari aras laut. Akhirnya kami mendarat di lapangan terbang Sandakan. Memang tidak pernah saya jangkakan saya bermusafir di usia begini. Namun saya redha dengan perancangan Allah ini. Kemungkinan saya akan menjadi warga Sandakan selama lima tahun mengikut kebiasaan sistem penjawatan di APMM setakat ini.

Kami menaki teksi menuju ke Sabah Hotel. Disinilah kami akan menginap sementara menunggu barang-barang kami termasuk kereta sampai dari Semenanjung. Sebenarnya  barang-barang ini telah dihantar terlebih dahulu menggunakan kapal tetapi agak lewat tibanya. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, saya agak kagum kerana saya bayangkan sebelum ini Sandakan cuma sebuah bandar kecil. Rupanya Sandakan sebuah bandar yang agak besar juga. Rasanya bandar kedua tebesar di Sabah selepas Kota Kinabalu. Dan satu yang saya amat seronok, perjalanan begitu lancar. Tiada kesesakan lalulintas disini sesuatu yang begitu sinonim dengan Kuala Lumpur.

Memang kami lalui juga pesisiran pantai di beberapa tempat. Tapi sayang harapan saya untuk bersiar-siar di tepian pantai musnah berterbangan. Pantai yang sepatutnya  indah dipenuhi dengan rumah-rumah air yang di sepanjang pantai. Ada yang berselerak dan ada yang tersusun. Difahamkan yang tersusun ini ada kelulusan seperti geran. Yang berselerak itu adalah penempatan 'tidak sah'. Hibanya hati ini menyaksikan  pencemaran  keindahan alam semula jadi ciptaan Allah ini.

Banyak lagi yang menanti di Sandakan ini untuk diterokai dan akan saya kongsikan untuk kita mengenali Sandakan dan lain-lain tempat menarik di negeri di bawah bayu ini. Tungguuuuuuu....



No comments:

Post a Comment