Pages

Wednesday 25 February 2015

SEMPORNA...DIA DATANG MENABUR BAKTI

Entry ke sebelas

Teks : RAHMAH YAAKOB


Kelmarin, sedang saya memandu ke lapangan terbang Sandakan untuk menjemput suami, tiba-tiba masuk satu wasap. Bila berhenti di lampu isyarat, saya capai handphone dan baca wasap berkenaan.
"Nadiah dapat KK Semporna".

Tersentap rasanya. Ya Allah, begitu jauh dia ditempatkan. Memang dia tengah berdebar-debar menunggu arahan untuk penempatan setelah tamat menjalani 'housemanship' selama dua tahun.
Dr. Nadiah. Anak kedua yang menyempurnakan cita-cita saya sedari kecil untuk menjadi seorang doktor. Allah makbulkan cita-cita saya melalui dia.

Tetapi perjalanan untuk menjadi seorang doktor ditempuhinya penuh liku. Sewaktu menuntut di Universiti Alexandriah, Mesir dia dan rakan-rakannya berdepan dengan kemelut perang saudara di Mesir. Kami ibubapa di tanahair sangat bimbang akan keselamatan mereka. Akhirnya berjaya juga dia menamatkan pengajian setelah enam tahun merantau di bumi anbiya sana. Selama enam tahun juga dia menyambut raya di perantauan. Ini kerana masa pengajian dan masa percutian tidak membolehkan dia beraya di tanahair. Tapi dia beruntung belajar di sana kerana berpeluang memahirkan penggunaan bahasa Al-Quran, bahasa Arab. Latihan di hospital di sana dan pergaulan dengan masyarakat seharian memang memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa arab.
Kalau tidak nanti ibarat bercakap ayam dengan itik kerana penduduk di sana masih ramai lagi yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Bila tamat pengajian, bakal-bakal doktor ini dibolehkan memohon untuk berkhidmat sebagai 'housemanship' dimana-mana hospital bergantung pada kekosongan. Memandangan saya dan suami tinggal di Sandakan, kami minta dia memohon bertugas disini  Sudah pasti permohonan ini diluluskan kerana negeri Sabah dan Sarawak memang memerlukan ramai doktor untuk memenuhi kekosongan. Tawaran untuk  bermula Mac 2012 di Hospital Duke Of Kent, Sandakan.

Namun disaat akhir ketika hendak datang melapur diri di Sandakan, tercetus pula kes pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu. Sejarah hitam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan penceroboh dari Sulu, Filipina. Dan kawasan kami Sandakan terlibat sama. Ada banyak ancaman bahawa akan berlaku serangan di sini juga. Dan selalunya hospital adalah salah satu sasaran penceroboh.

Dilema pula samada untuk meneruskan hajat datang ke sini atau mohon bertukar ke hospital lain. Setelah berbincang, kami bersepakat agar teruskan sahaja ke sini. Mungkin kacau bilau ini buat sementara sahaja. Maka bermulalah kehadiran Nadiah di samping kami di sini. Moga dapat menebus kembali masa perpisahan yang lama dahulu. Saya sangat bersyukur Allah takdirkan dia tinggal bersama kami sewaktu housemanship ini. Masih sempat kami melihat dia saban hari di depan mata sebelum dia berumahtangga jika jodoh sudah sampai suatu hari nanti.

Saat menjalani houseman ini adalah tempuh yang paling menduga kesabaran. Sekurang-kurangnya kami dapat memberi sokongan emosi dan galakan bila dia berdepan masalah atau masa 'down'. Saya juga dapat menyediakan keperluannya serba sedikit. Sepanjang tempuh HO ini memang sangat mencabar. Keluar awal pagi kadang-kadang sehingga esok pagi semula baru balik. Kadang-kadang sedih saya tengok nasi yang dibekalkan di bawa balik tanpa dijamah kerana langsung tidak sempat untuk berhenti makan katanya. Dia kena habiskan sehingga enam department barulah layak menjadi Pegawai Perubatan (Medical Officer). Setiap department selama 4 bulan. Maka kini sudah genaplah 24 bulan dia menjalani HO.

Tidak pernah pula terdetik difikiran dia akan ditempatkan nun jauh di Semporna. Lebihkurang 7 jam perjalanan dari Sandakan dengan menaiki kereta. Tapi segalanya Allah telah ada perancangan. Saya seharusnya bersyukur kerana telah diberi peluang dua tahun tinggal bersama dia. Kini perlu dilepaskan agar berdikari untuk berbakti di bumi Semporna pula. Usaplah air mata yang bergenang di bibir mata menanti saat perpisahan ini. Iringi doa agar dia dapat memberi khidmat bakti yang terbaik di sana. Dan juga didoakan moga ada sesuatu yang baik menunggu di sana. Aamiin.

No comments:

Post a Comment