Pages

Sunday, 8 March 2015

MENUNTUT ILMU - PELABURAN YANG TIDAK MERUGIKAN

Entry ke 21

Teks : RAHMAH YAAKOB


Hari ini 8 Mac 2015, saya kuatkan hati untuk menghadiri kelas Online Positioning (OP) yang dikendalikan oleh Puan June Mohd Som. Kenapa saya kena kuatkan hati ? Pertama sebab hari ini hari terakhir saya di Kuala Lumpur. Esok saya akan terbang semula ke Sandakan. Kedua, saya juga diamanahkan menjaga emak mengikut giliran saya.  Rasa berat sangat hati hendak meninggalkan emak yang kelihatan agak lemah sejak dua tiga hari ini. Ketiga, ada suara-suara yang menyatakan saya tak perlu lah pergi banyak sangat seminar. Cukuplah apa yang sudah saya hadiri selama ini.

Tapi bila pagi tadi menjelang, saya tengok emak tersenyum. Kalau dia tersenyum tu, itu petanda dia sihat. Alhamdulillah, nampaknya Allah permudahkan saya membuat keputusan untuk pergi. Saya pun memandikan emak dan membuat sarapan yang simple untuknya. Kemudian saya pesan kepada menantu agar menjaga emak sepanjang saya tiada di rumah hari ini. Maafkan saya emak. Saya teringin sangat hendak menyertai kelas OP ini sementara saya ada di K.L. Saya perlu tahu ilmu selaras dengan perkembangan terkini secara profesional. Saya yang tahu apa yang saya perlukan.

Kelas dijadualkan bermula pukul 9.00 pagi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Saya memulakan langkah dari rumah jam 9.05 pagi. Ya Allah, moga ilmu yang akan saya timba hari ini boleh membantu saya meningkatkan pengetahuan dalam selok belok online bisnes. Sejak bermusafir di Sandakan, saya sudah mula menjinakkan diri dengan online bisnes ini. Dan saya pula jenis yang kalau buat sesuatu, hendak buat secara bersungguh-sungguh. Apa-apa ilmu yang berkaitan saya akan cuba untuk hadiri. Saya memang jenis tidak berkira sangat dengan bayaran jika berkaitan dengan ilmu samada membeli buku atau menghadiri seminar. Saya rasa ini satu pelaburan yang tidak merugikan.

Dengan panduan waze saya sempat sampai ke tempat seminar jam 9.25 pagi. Cikgu June baru memulakan kelas dengan mukaddimah. Saya bersyukur sangat dengan kecekalan hati, akhirnya saya dapat juga duduk di kerusi ini untuk peningkatan ilmu. InsyaAllah saya akan gunakan ilmu yang saya perolehi hari ini dengan sebaik mungkin. Agar berbaloi dengan pengorbanan yang saya terpaksa buat hari ini. Moga Allah dan emak merestuinya.





PERSARAAN - INGATLAH HARI TUA SEMASA MUDA

Entry ke 20

Teks : RAHMAH YAAKOB

Assalamualaikum,

Pak Mat sudah berusia 65 tahun. Dia sudah bersara dari kerja sebagai seorang kerani di Jabatan Kerajaan 10 tahun lepas. Gaji terakhirnya adalah RM2000. Bila bersara, beliau mendapat pencen bulanan sebanyak RM1000 iaitu separuh dari gaji terakhirnya. Mungkin 10 tahun dahulu duit RM1000 agak cukup untuk menampung kehidupannya. Tapi kini duit RM1000 adalah sangat kecil nilainya. Dulu nasi lemak dapat dibeli sebungkus 50sen. Kini sebungkus boleh mencecah RM4.00. Jadi tiada pilihan lain, Pak Mat terpaksa mencari kerja semula untuk menambah pendapatannya.

Soalan : Dimana duit simpanan Pak Mat sewaktu bekerja dulu ?

Pak Ali pula pesara syarikat swasta. Sewaktu usia Pak Ali 55 tahun, beliau telah mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerjanya. Sebagai seorang juruteknik, jumlah KWSP yang diperolehinya adalah dalam lingkungan RM100,000.  Bila mendapat duit tersebut Pak Ali mula memikirkan pelbagai perkara. Beliau pergi menunaikan haji bersama isteri. Ubahsuai rumah. Perbelanjaan perkahwinan anaknya. Dalam sedar tak sedar dalam tempuh tiga tahun sahaja duit kwsp Pak Ali hampir habis kesemuanya.

Nota : Kajian mendapati wang kwsp selalunya bertahan selama tiga tahun sahaja jika tidak diurus dengan baik.


Mengikut statistik jangka hayat bagi lelaki di negara ini adalah lebihkurang 75 tahun dan wanita 81 tahun. Maka ada lebihkurang 20 ke 25 tahun lagi hidup dengan pencen atau tanpa ada pendapatan lagi.

Adakah kita mahu mengharapkan anak-anak menanggung kita sewaktu tua. Sedangkan mereka juga bergelut untuk mencukupkan perbelanjaan keluarga masing-masing. Atau adakah kita mahu meminta simpati dari badan-badan kebajikan. Naauzubillah. Kalau boleh biarlah kita tangan yang memberi bukan tangan yang menadah meminta-minta.

Dari dua senario di atas, dapatlah disimpulkan bahawa adalah amat penting bagi kita menyimpan wang sedari muda untuk kegunaan di hari tua. Biarlah menyimpan dalam kadar sedikit tetapi berterusan.

Disamping menabung kita juga boleh membuat pelaburan tambahan yang lain. Antara pelaburan yang baik adalah saham amanah, rumah kediaman sendiri, bisnes sendiri ataupun perniagaan yang kita ada pengaruh dan kawalan.

Satu lagi pelaburan ialah peningkatan ilmu dan kemahiran diri. Ini boleh membantu kita meningkatkan pendapatan.

Jadi buatlah persediaan awal untuk persaraan. Agar hidup kita tenang menempuh saat-saat akhir kita dan tidak mengganggu impian kita untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah sebeum kita dipanggil kembali.

Friday, 6 March 2015

TANDUO - PENGALAMAN YANG MENAKUTKAN

ENTRY KE 19

Teks : RAHMAH YAAKOB


Feb 2013. 

Satu kejadian hitam dalam sejarah negara telah berlaku di Lahad Datu. Kami di Sandakan juga menerima tempiasnya kerana kami berdekatan dengan Lahad Datu. Kedudukan Sandakan sendiri ditepi laut memang tempat yang strategik berlakunya serangan. 

Saya yang baru berada di Sandakan satu tahun 3 bulan memang tidak menyangka akan merasai pengalaman ini. Bayangkan masa itu, kita tidak kenal mana satu jiran mana satu pihak lawan. Di tempat saya tinggal masa itu, terdapat pelbagai etnik dan kaum tinggal berhampiran. Ada yang dari Sulu, ada yang penduduk asal disitu. Masa itu agak sensitif bila dikaitkan dengan Sulu. Kerana penyerang diberitakan berasal dari Suluk.  Ditambah dengan pelbagai khabar angin yang disebarkan melalui intenet.  Setiap saat kami berasa takut kerana terdengar berita yang mereka juga akan membuat serangan disini bila-bila masa sahaja. Saling curiga mencurigai. Tidur malam dalam kegelapan. Hati sentiasa berdebar-debar. 

Begini rupanya perasaan orang yang ditimpa peperangan. Suami saya yang bekerja di APMM memang dua puluh empat jam berada mengawasi operasi di pejabat. Saya dinasihatkan tinggal mengunci diri di dalam rumah. Dengan hati dap..dap..dap..setiap saat. Hanya berdoa kepada Allah agar kami semua dipantai Timur Sabah ini dilindungi dari sebarang serangan. Bagi isteri anggota yang mempunyai anak-anak kecil, mereka dinasihatkan berkumpul dalam sebuah rumah. Sekurang-kurangnya dapat menguatkan semangat bila bersama-sama.

Sedikit mengenai krononji peristiwa tersebut. Mungkin fakta yang saya berikan ini ada yang tidak tepat tetapi sebagai pandangan kasar dari apa yang saya dengar dan lalui sendiri. 

Pada  9 Feb 2013, kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung Tanduo, Lahad Datu sebagai pangkalan mereka. Pada 11 Feb 2013, Pasukan keselamatan Malaysia mula mengepung kawasan berkenaan. Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
    
Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu. Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan untuk pengusiran mereka.

Rundingan tidak berhasil berakhir dengan beberapa orang telah terbunuh ketika penceroboh dari kesultanan Sulu berbalas tembak dengan pasukan keselamatan Malaysia.
    
1 Mac - Polis mengesahkan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan itu.

2 Mac - Keadaan bertambah kronik bila seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

5 Mac - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan tentera dan polis di kawasan kampung itu.

5 Mac  – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

5 Mac (1.30 tengah hari) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.


Alhamdulillah segalanya berakhir dengan selamat. Banyak perkara yang dapat dijadikan ikhtibar dari kejadian ini. Pihak keselamatan kita, tentera dan polis dapat meningkatkan kecekapan dan persediaan dalam menghadapi musuh negara. Pengeluaran minyak sawit, aktiviti menangkap ikan dan pelaburan syarikat Amerika Syarikat dalam penternakan udang galah kembali pulih di Lahad Datu setelah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ditubuhkan untuk memperkukuh keselamatan darat dan perairan di timur Sabah. 

Kita mengucapkan takziah kepada anggota tentera dan polis yang terkorban dalam kejadian itu. Al-Fatihah untuk mereka.

PESANAN BUAT SUAMI-JANGAN BERI HARAPAN PALSU

Entry ke 18

Teks : RAHMAH YAAKOB

Salam sejahtera


Suatu petang saya terima panggilan telefon dari adik saya.  Dia minta saya tolong semakkan status takaful suami kawannya yang baru meninggal dunia. Dia meminta bantuan saya kerana saya seorang wakil takaful walaupun polisi itu diambil dengan wakil lain.

Isterinya begitu gembira bila terjumpa polisi takaful suaminya ketika dia mengemas barang-barang arwah. Ada dua polisi yang di ambil oleh arwah suaminya. Berbunga harapan si isteri untuk mendapat wang khairat kematian dari polisi tersebut. Terbayang difikirannya wang tersebut akan dapat membantu meringankan perbelanjaannya untuk membesarkan anak-anak. Dapat juga membayar baki pinjaman kereta arwah suaminya. Dan pelbagai kegunaan lain lagi.

Dengan berpandukan nombor polisi tersebut, saya pun menelefon pihak takaful. Namun berkecai harapan bila dimaklumkan polisi itu sudah luput sebab bayaran cuma dibuat selama 3 kali sahaja. Saya rasa sangat sedih dan serba salah untuk memaklumkan berita ini kepada isteri arwah. Inilah namanya memberi harapan palsu. Sepatutnya suami tida menyimpan polisi berkenaan yang tiada nilainya lagi.

Jadi saya selalu ingatkan diri sendiri dan juga kepada pelanggan-pelanggan saya, polisi yang paling baik bukannya polisi yang tinggi caruman dan perlindungannya. Polisi yang terbaik ialah polisi yang aktif dan tiada bayaran yang tertunggak. Jika anda rasa tidak mahu meneruskan dengan pelan takaful tersebut, sila PULANGKAN polisi kepada pihak takaful. Disamping anda akan dapat sejumlah wang penyertaan, ini juga untuk memastikan anda tidak memberi harapan palsu kepada waris anda.

Anda juga dinasihatkan agar mengambil polisi dengan kadar bayaran yang termampu agar bayaran dapat dibuat berterusan sehingga matang. Saya tidak mahu kisah di atas terjadi kepada orang lain. Sudahlah kehilangan suami sesuatu yang menyedihkan, ditambah pula dengan berita sedih dari pihak takaful.

Para suami sila pastikan anda mengambil takaful sebagai perlindungan pendapatan anda. Bayangkan andai anda tidak bernafas lagi hari ini, apakah yang anda tinggalkan untuk keluarga anda ? Isteri anda yang selama ini tidak bekerja, adakah dia terpaksa mula bekerja denga ketiadaan anda ? Jika selama ini mereka kesana sini menaiki kereta, adakah dengan perginya anda mereka terpaksa bersesak-sesak menaiki kenderaan awam ? Dan lebih teruk lagi, andai anda di timpa musibah hilang keupayaan kekal contohnya lumpuh akibat kemalangan. Sudahlah hilang punca pendapatan, ditambah pula dengan keperluan kewangan untuk menjaga anda. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Saya juga kadang-kadang berasa hairan bila isteri tidak membenarkan suami mengambil takaful. Dia lagi suka suami belikan barang kemas atau bag berjenama untuknya. Adakah dia tidak tahu bahawa takaful yang suaminya ambil adalah untuk kesenangan dia dan anak-anak sekiranya berlaku musibah kepada suaminya. Sungguh saya tidak faham.

Maka para isteri galakkanlah suami menabung sedikit ke dalam takaful. Ini umpama harta pusaka yang tersedia untuk anda. Dengan keadaan ekonomi sekarang, menabung mungkin amat perit bagi sesetengah orang. Jadi sebagai alternatif untuk mempercepatkan nilai tabungan anda sekiranya kita dipanggil awal, maka takaful lah satu satunya jalan untuk membantu anda.

Untuk penerangan lanjut, boleh hubungi saya di email hjhrahmahyaakob@gmail.com atau 013-3545984.

Terima kasih.



Tuesday, 3 March 2015

SPM - Penghujung atau permulaan



Entry ke 15

Teks : RAHMAH YAAKOB

Hari ini para pelajar yang menduduki SPM telah mendapat keputusan masing-masing. Ada yang gembira, ada yang tenang dan ada yang berduka.
Begitu juga dengan ibu bapa pelajar berkenaan.
Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah hasil pemerhatian saya di saat pelajar-pelajar tersebut menerima keputusan masing-masing siang tadi. Saya perhatikan gelagat masing-masing. Ada yang gembira. Yang mendapat keputusan cemerlang 10A dan 9A mendapat ciuman, dakapan dan pujian dari semua. Tahniah dan alhamdulillah.
Namun disudut hati saya pelajar yang mendapat 7A, 6A, 5A, 2A atau tiada A lebih-lebih lagi memerlukan pelukan , dakapan dan kata-kata semangat. Mereka telah berusaha cuma Allah tangguhkan kejayaan mereka.
Kenapa saya kata tangguhkan ? Sebab ramai yang berjaya dalam hidup bukan semuanya yang mendapat 10 atau 9A dalam SPM sahaja. Semangat untuk ketangga yang seterusnya yang lebih penting.
Jadi bagi anak-anak yang tidak mencapai kecemerlangan yang diharapkan dalam SPM ini jangan berputus asa. Peluang masih luas dihadapan anda.
Tingkatkan usaha dan lebih dekatkan diri dengan Allah. Kejayaan menunggu anda yang tidak berputus asa. InsyaAllah.

Selalunya selepas SPM, para pelajar buntu untuk mencari hala tuju kemana untuk meneruskan pelajaran. Mungkin sudah ada impian sebelum ini tetapi keputusan tidak menyebelahi impian tersebut. 
Sebagai panduan, saya kongsikan sedikit sebanyak peluang yang boleh anda pilih. Turutan ini bukan ikut keutamaan tetapi terpulang kepada minat dan kelayakan permohonan.

1. Universiti
2.Kolej Matrikulasi
3. Luar negara.
4.Politeknik dan apa jua program teknikal dan latihan
5. Kolej-kolej Swasta
6.Tingkatan Enam.
7. SPA - kolej kejururawatan, juru-xray, jurukur
8.ALAM (Akademi Laut Malaysia)
9.Kursus ketenteraan
10. Kursus Penerbangan
11.IPG - institut Perguruan

InsyaAllah saya akan cuba dapatkan maklumat yang boleh membantu sedikit sebanyak berkaitan perkara 1 hingga 11 di atas.

Senyum ceria semua. Ada cahaya dihujung sana untuk kita capai.






p/s : Tahniah pada Sek Sains Tapah yang menjadi sekolah terbaik di Perak. Terima kasih para guru yang mencurah ilmu kepada anak saya selama lima tahun di SESTA.

TAKAFUL: saya dah banyak simpanan, tak perlu kut - BHG KETIGA

Entry ke 16

Teks : RAHMAH YAAKOB


Sambungan dari bahagia kedua.

Soalan yang sering menerpa fikiran anda bila di datangi oleh wakil takaful ;

3.  Duit simpanan saya dah banyak. Tidak perlulah ambil takaful.

Alhamdulillah jika duit simpanan anda banyak. Tapi dengan menyertai takaful ini anda berpeluang mendapat pahala amal jariah insyaAllah. Dengan wang yang kita sumbangkan dalam tabungan takaful, dapat membantu orang lain yang kena musibah. Duit kita membantu anak-anak yatim, balu-balu, orang yang sakit kritikal, orang yang ditimpa kemalangan dan pelbagai lagi. Duit kita juga dikeluarkan zakat untuk membantu bagi yang memerlukan.

Duit simpanan yang banyak juga tidak seratus peratus akan tersimpan selamanya. Mana tahu musibah melanda kita, dengan ujian sakit kritikal. Perbelanjaan dan rawatan dihospital sekarang amat mahal dan dijangka akan bertambah dari masa kesemasa. Contohnya rawatan jantung boleh memakan perbelanjaan sehingga lima puluh ribu.  Maka denga mengambil takaful perubatan sekurang-kurangnya kos rawatan boleh ditampung oleh pihak takaful.

4. Semua dah takdir Allah. Buat apa kita bergantung sangat pada takaful ?

Secara amnya Takaful adalah pelan perlindungan kewangan secara Islam. Ia merupakan satu ikhtiar atau usaha untuk menghadapi atau melindungi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku ke atas diri sendiri, ahli keluarga atau harta benda daripada sebarang musibah atau malapetaka. Takaful ini amat diperlukan sebagai satu ikhtiar terlebih dahulu sebelum kita bertawakkal kepada Allah.

Persiapan di segi kewangan ini bukanlah satu usaha untuk melawan takdir Allah. Ini bagi membantu untuk mengharungi sebarang ketidak pastian atau ujian dari Allah contohnya seperti kematian, hilang upaya kekal, penyakt kritikal, kemalangan dan sebagainya.

Antara dalil yang mewajibkan kita berusaha sebelum bertawakkal kepada Allah semata-mata adalah seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. kepada seorang arab badwi yang meninggalkan untanya tanpa diikat terlebih dahulu dan berserah semata-mata kepada Allah.

Maksud hadith " Ikatlah tali unta kamu dahulu dan kemudian barulah berserah kepada Allah swt ' (Riwaya : At-Turmuzi)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : " Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta " (Riwayat : Bukhari)

Hadith lain Rasulullah saw telah bersabda " Setiap daripada kamu adalah pemikul tanggung-jawab dan setiap daripada kamu bertanggung-jawab terhadap mereka di bawah tanggungan kamu " (Riwayat : Bukhari dan Muslim)  

Diharap penjelasan di atas boleh membantu anda membuat keputusan dengan keyakinan dan pengetahuan kenapa dan apa gunanya takaful ini kepada anda.

Sunday, 1 March 2015

MASA ITU EMAS

Entry Keduabelas

Teks : RAHMAH YAAKOB


Januari 2012, secara rasminya saya menjadi seorang surirumah. Perubahan gaya hidup yang baru ini memerlukan perancangan yang teliti agar saya tidak mensia-siakan peluang yang Allah berikan ini. Ini merupakan satu rezeki YANG AMAT BERHARGA. Rezeki dari segi kelapangan masa. Bukan semua orang berpeluang menikmati rezeki ini. Ada yang dipanggil awal sebelum bersara. Ada yang bersara awal disebabkan sakit. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yag kamu dustakan.

Dengan usia saya yang telah melebihi angka 50, sewajarnyalah saya lebih menumpukan persediaan untuk hari kemudian. Tingkatkan ilmu dan amal. Begitu banyak ilmu yang perlu di pelajari. Bak kata pepatah, jika kita tidak mengajar maka kita perlulah belajar.

Ilmu boleh diperolehi dengan pelbagai cara. Antaranya di dalam rancangan televisyen banyak yang bagus untuk di tonton. Kalau sebelah pagi, Tanyalah Ustaz satu rancangan yang mesti diikuti. Pelbagai tajuk dan persoalan dikongsi oleh ustaz-ustaz yang berwibawa. Tanyalah Ustazah, Bila Dah Jodoh Ustaz Kazim, Halaqah, Ehwal Perdana dan banyak lagi.

Kedua, ilmu boleh di asah melalui pembacaan. Kitab Al-Quran Terjemahan  mengandungi terlalu banyak ilmu yang boleh diambil. Disamping kita membaca surahnya, kita perhatikan juga maksud atau terjemahannya. Ilmu Allah tidak akan pernah habis untuk di gali. Semakin banyak kita gali, semakin kerdil rasa diri ini. Banyak kisah-kisah umat terdahulu yang boleh dijadikan tauladan. Banyak janji-janji Allah dengan balasan yang baik dan balasan yang menakutkan buat pedoman kita menjalani kehidupan ini.

Tetapi bab Al-Quran ini, saya rasakan lebih afdal jika dapat berguru secara bersemuka dengan guru yang bertauliah. Alhamdulillah, suami dan saya dapat mengaji dengan Ustaz Yaacob Labis di Karamungsing dihujung minggu. Seorang ustaz yang banyak pengalaman dan sudah berusia. Disamping mengaji, ustaz Yaacob banyak memberi ilmu sebagai orang lama yang banyak pengalaman.

Disamping Al-Quran, kita ada kitab-kitab tafsiran hadith. Ini bagi mengukuhkan lagi disamping penjelasan yang lebih terperinci akan hukum hakam yang terdapat di dalam Al-Quran.

Dan kita juga digalakkan menuntut ilmu dunia bagi kemasalahatan kita didunia ini.  Saya ambil peluang dengan masa yang terluang ini dengan mengunjungi perpustakaan. Walau pun perpustakaan di Sandakan ini tidak lah sehebat di Kuala Lumpur, namun ada banyak buku yang saya masih belum baca. Dengan mendaftar tiga kad perpustakaan, saya boleh meminjam 18 buku pada satu-satu masa ! Apa lagi. Pencinta buku. Buku motivasi, buku bab kewangan, buku-buka agama dan juga novel-novel yang menarik. Maka di awal menjadi penghuni Sandakan ini saya banyak menghabiskan masa di sini. Sungguh tenang dan bahagia rasanya.

Selain memenuhi masa dengan bacaan, saya tetap tidak mengabaikan hubungan dengan masyarakat tempatan. Saya mula berkenalan dengan jiran-jiran berdekatan. Ada yang dari semenanjung, dari Sarawak dan juga penduduk asal di sini. Kadang-kadang saya berkunjung ke rumah kakitangan APMM yang sudah berkeluarga. Sekurang-kurangnya merapatkan silaturrahim antara kami yang merantau ini.

Maka siapa kata suri rumah suatu karier yang membosankan ? Kita yang mencorakkan hari kita samada untuk disi dengan perkara yang berfaedah atau sebaliknya.