Pages

Monday, 23 March 2015

SKIM CEPAT KAYA (P) BHG 2 - SONTOTAN EMAS

Entry ke 35

TEKS : RAHMAH YAAKOB


Terdahulu saya telah kongsikan skim-skim yang ada dalam tahun 2000 an. Skim emas yang pernah kena tindakan Bank Negara Malaysia adalah Etika Emas, Genneva dan beberapa lagi atas tuduhan pengambilan deposit wang haram.

Terkini pula skim yang melibatkan emas sekitar tahun 2013 hingga sekarang. Rakyat Malaysia termasuk saya telah mula menyedari akan kepentingan  membeli dan menyimpan emas pada sekitar tahun 2012. Saya mula berjinak dengan emas melalui syarikat Public Gold yang diperkenalkan oleh En Syukor Hasyim.

Kemudian dari hari kehari banyak syarikat Emas yang ditubuhkan. Pelbagai teknik diperkenalkan untuk mendapat keuntungan melalui pembelian emas ini. Salah satu teknik yang popular adalah teknik manipulasi melalui pajakan emas di ar-Rahnu. Disinilah  saya mula mengenali KB, TB, Cikgu F dan ramai otai yang bergiat dalam perniagaan emas ini. Saya kenal melalui pembacaan dan juga menghadiri seminar emas yang diadakan.  

Sekitar bulan Julai 2014 negara sekali lagi dilanda fenomena pelbagai skim yang melibatkan emas. Tawarannya memang amat lumayan dan menjanjikan keuntungan yang tinggi.  Namun hati saya tetap berat untuk menyertainya. Walaubagaimana pun  saya selalu mengikuti perkembangan program ini melalui perbincangan di ‘group’  Emas di fesbuk.

Antaranya saya nampak istilah yang diguna pakai ETA (Estimate Time Arrival), Delay dan pelbagai lagi. Secara mudahnya membeli emas tetapi terima lewat. Atas kelewatan ini peserta akan diberi ganjaran wang setiap bulan bergantung berapa lama tempoh untuk mendapat emas fizikal itu. Lagi lewat terima lagi tinggi ganjarannya. Promosi hebat untuk mendapatkan pelabur di buat di laman-laman sosial. Empunya syarikat mula berkongsi gambar-gambar kemewahan hasil perniagaan ini seperti rumah mewah, kereta mewah, timbunan duit dan lain-lain yang diperolehi hasil program emas ini. Tak heran lah kalau ramai yang berduyun-duyun masuk menyertai program ini.

Saya selalu ikuti perdebatan antara orang yang pro dengan skim ini dan orang yang menasihati agar menjauhi skim ini. Memang hangat kerana melibatkan hukum jual beli, pasal penasihat syariah dan perkara berkaitan.


Kemudian sekitar  Oct 2014, perkara yang dikhuatiri berlaku telah pun berlaku.  Satu fenomena yang terkenal dengan panggilan sontotan emas besar-besaran.  Ramai pelabur tidak lagi menerima pulangan bulanan yang dijanjikan. Akhirnya terbongkar rahsia bahawa teknik-teknik  yang di war-warkan selama ini tidak dipraktikkan oleh syarikat berkaitan. Malah syarikat yang terbabit berurus niaga dengan syarikat Emas di Singapura menggunakan duit pelabur-pelabur.  Bila syarikat di sana ditimpa masaalah maka ia memberi kesan terus kepada syarikat-syarikat emas negara kita yang berurus niaga dengan mereka.

Maka tercipta lagi satu sejarah orang ramai rugi berpuluh malah beratus ribu disebabkan skim yang menipu. Saya rasai keluhan dan rintihan mereka yang menjadi agen kepada syarikat terbabit. Dengan mereka sendiri menanggung kerugian ditambah pula diasak oleh peserta yang telah melabur melalui mereka. 

Begitulah kita yang selalu lupa sejarah. Skim tetap datang dan pergi cuma cara, produk atau modus operandinya yang sedikit berbeza. Semua nya berlaku kerana perasaan ingin cepat kaya.

SKIM CEPAT KAYA (P)

Entry ke 34

Teks : RAHMAH YAAKOB

Satu lagi barah yang cepat membuatkan perancangan wang kita sakit adalah kerugian yang banyak akibat pelaburan dalam skim-skim yang menipu atau lebih dikenali sebagai Skim Cepat Kaya.

Memang lumrah manusia inginkan kekayaan didunia ini. Maka bila ada tawaran atau peluang yang menawarkan keuntungan segera pasti sambutannya macam goring pisang panas. Dan sejarah akan berulang dari masa kesemasa. Sejarah di mana  ramai yang kerugian puluhan malahan ratusan ribu akibat terpedaya dengan skim-skim yang sama tapi diubah nama dan produknya sahaja. Modus operandinya tetap sama.

Cuba kita tengok dulu apa yang dikatakan Skim Cepat Kaya ini ?

Ia adalah satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik. Dan ia menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas dari sebarang risiko.  Selalunya dikaitkan dengan 4D. Duduk Diam Dapat Duit. Seronok memang seronok tapi bila harapan tidak kesampaian, ramai yang terduduk terus. Satu episod kehidupan yang amat menyedihkan. Kadang-kadang ada yang membuat pinjaman untuk melabur dalam skim ini. Bayangkan bertahun-tahun membayar pinjaman keatas benda yang ibarat farta  morgana.

SKIM PAK MAN TELO

Kita singkap sedikit sejarah skim ini di negara kita. Pada awal 90an negara kita dilanda dengan skim Pak Man Telo (arwah) dari Taiping, Perak. Tujuan kita lihat sejarah ini bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sebagai pedoman dan tauladan. Skim ini berjaya menarik lebih 50,000 pelabur sehingga mencecah 99 juta kutipan.  Ramai yang terpesona dengan janji Pak Man untuk memberi pulangan dividen yang lumayan setiap bulan.

Skim ini berakhir bila Bank Negara menahan beliau pada Januari 1990 dan dijatuhkan hukuman penjara dan kemudian diperintah buang daerah  dimana beliau meninggal dunia pada 1997. Lama kelamaan kisah Pak Man mula tenggelam dan orang ramai semakin melupakannya.  Namun kisah ini telah meninggalkan satu fenomena yang terus disebut-sebut sehingga kini bila membincangkan hal berkaitan skim cepat kaya.
    
SKIM TUMBUH BAK CENDAWAN

Tahun 2000an pelbagai skim telah muncul. Skim ini lebih berbentuk kepada Joint Venture (JV) atau rakankongsi.  Modus operandinya adalah sama dimana peserta memberi wang sebagai modal Syarikat yang akan menjalankan aktiviti perniagaan. Setiap bulan peserta akan diberi % keuntungan.

Hampir semua bidang ada menawarkan skim ini. Penternakan contohnya skim lembu pawah, skim kambing, skim lintah, skim ikan keli dan pelbagai lagi. Dibidang pertanian pula skim yang ada contohnya skim penanaman serai, penanaman cili, rumpai laut, pokok gaharu dan banyak lagi.
Bidang perkhidmatan pula program sewa beli kereta, syarikat umrah, penjimatan minyak, membership kad pelancongan dan seumpamanya.

Kebanyakan program ini mudah dipercayai kerana mereka bertopengkan agama dengan slogan Demi ummah, Meningkatkan Ekonomi Ummah dan seumpamanya. Lebih parah lagi mereka melantik Lembaga Pengarah dari orang-orang yang berpengaruh. Disebabkan ini  orang ramai tidak ragu-ragu untuk menyertainya.


Saya masih ingat tahun 2007 satu syarikat JXXX yang membuat program partnership alat penjimatan minyak. Diterajui oleh seorang yang bergelar Dr. Menggunakan pensyarah sebuah Universiti Swasta yang terkenal dan melantik salah seorang pengarahnya daripada badan pengguna Islam yang terkenal. Dengan slogan Untuk Menaikkan Ekonomi Ummah. Berduyun-duyun yang menyertai program ini. Siap ada borang akad jual beli yang meyakinkan. Tetapi nasib yang sama menimpa seperti skim-skim yang lain. 

Bank Negara telah membekukan esset syarikat ini dan penerajunya ditangkap dan akhirnya dipenjarakan. Syarikat telah didakwa atas pengambilan deposit secara haram. Para pelabur yang telah melabur puluhan malah ratusan ribu hanya dapat menggigit jari. Hanya berharap dan berdoa agar Bank Negara  mencairkan esset syarikat dan membayar semula wang pelabur. Atau pun menuntut kepada yang menipu di akhirat kelak.


Sunday, 22 March 2015

HUTANG OH HUTANG

Entry ke 24

Teks : RAHMAH YAAKOB


Salam sejahtera.

Antara barah yang menjangkiti pengurusan kewangan kita adalah hutang.

Ramai dikalangan kita yang terjebak dengan hutang. Selalunya ia adalah disebabkan oleh nafsu yang mengikut kehendak bukannya ikut keperluan. Keperluan yang asas seperti rumah dan kenderaan adalah sangat penting dalam menjalani kehidupan. Maka ia dimaafkan dan selalunya di beri keutamaan dalam perancangan kewangan kita. 

Memandangkan harga rumah sekarang amat mahal, maka majoriti daripada kita  terpaksa mengambil pinjaman untuk mendapatkan sebuah rumah. Melainkan seorang yang  kaya dan ada punca pendapatan yang tinggi atau perniagaan yang berjaya mampu membeli rumah secara tunai. Ada juga yang lebih rela menyewa rumah dari mengambil pinjaman. Ini adalah atas perkiraan dan prinsip masing-masing.  

Bagi yang membuat pinjaman adalah disyorkan mengambil pinjaman yang diluluskan syariah atas konsep mudarabah. Ini merupakan hutang yang dibenarkan dan  ia juga dilindungi takaful. Sekiranya peminjam meninggal dunia sebelum tamat bayaran pinjaman, pihak takaful akan melunaskan semua hutang yang berbaki dan waris akan dapat rumah tersebut tanpa hutang lagi.

Satu lagi keperluan asas yang  terpaksa dimiliki ialah  kenderaan. Dikatakan terpaksa kerana ia adalah keperluan untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke rumah pengasuh atau  sekolah dan lain-lain. Pengangkutan awam memang boleh menjadi alternatif sekiranya lokasi dan masa nya bersesuaian. Contohnya di tempat saya, untuk ke stesyen LRT perlu ambil teksi terlebih dahulu. Kadang-kadang ada, kadang-kadang lewat. Maka mahu tak mahu kena juga gunakan kenderaan sendiri.

Jadi  ini juga menyebabkan ramai yang mengambil pinjaman kerana harga kereta juga sudah melambung tinggi dan kuasa menyimpan sangat rendah.  Hutang kenderaan ini selalunya tidak dilindungi takaful. Nanti ada pula yang kata, kereta memang kena ambil insuran untuk hidupkan cukai jalan. Itu takaful / insuran atas kereta. Yang saya maksudkan adalah takaful atas pinjaman kita membeli kereta itu. Contoh kereta Honda City sekarang RM90,000.00. Maka kita ambil pinjaman ansuran bayaran selama sembilan tahun maksima. Andainya kita sebagai peminjam meninggal dalam tempuh tersebut, maka hutang masih perlu dibayar oleh waris.  Pastikan kita ada simpanan atau takaful diri yang mana waris boleh gunakan untuk membayar baki hutang tersebut.

Maka hutang ini agak berbahaya sekiranya tiada perancangan yang telah dibuat dengan mengambil kira semua faktor.  Dan nilai kereta saban tahun akan menurun. Dan model kereta juga asyik bertukar begitu juga jiran, abang adik  dan rakan sekerja yang selalu menukar kereta. Ini semua mencabar kita. Kadang-kadang pinjaman bersambung-sambung dari satu kereta upgrade kepada kereta lain pula. Maka hidup selamanya tidak dapat bebas dari hutang akibat godaan untuk memenuhi kehendak yang tidak akan pernah puas. 



Satu lagi alternatif adalah dengan membeli dan menggunakan kereta terpakai. Tidor malam pun lena sebab tiada hutang yang perlu dirisaukan. :) Cuma pastikan kereta tersebut tidak pula memerlukan 'maintanance' yang tinggi akibat rosak atau perlu diservis selalu.

Dan hutang yang paling MENGERIKAN adalah hutang kad kredit. Ramai yang diisytiharkan muflis disebabkan kad kredit ini. Sebenarnya kad kredit ini direka untuk memudahkan kita. Tidak perlu membawa duit tunai yang banyak untuk berbelanja. Berikan sahaja kad plastik ni kepada juruwang, tandatangan dan sudah boleh bawa balik barang idaman kita. Tetapi AWAS. Jika anda berbelanja RM1000.00 maka bayarlah semula RM1000.00 sebelum cukup haul sebulan. Jika ini dapat dilakukan berterusan,  maka anda layak menggunakan 1 atau 2 kad kredit (pastikan yang Islamik). 

TETAPI jika kita kategori ikut arahan bayaran minima 5% sahaja dari jumlah hutang, maka disinilah mala petaka akan bermula. Faedah kad kredit adalah yang paling tinggi dibandingkan semua pinjaman yang lain iaitu sebanyak 18%. Dalam keghairahan kita berbelanja tanpa mengeluarkan wang akhirnya hutang dah sampai maksima. Kemudian kita ambil lagi kad kredit syarikat lain pula. Perkara ini berterusan sehingga anda dapat surat dari mahkamah kerana hutang sudah mencecah puluhan ribu. Jadi sebelum anda terjebak tanya diri boleh kah anda berdisiplin dalam penggunaan kad ini. Jika tidak, maka tindakan bijak adalah menggunting kad-kad tersebut dan mulakanlah membayar hutang yang sediaada. 

Antara peringatan yang boleh membantu kita :-

  • Ingat, kad kredit bukan wang percuma. Ia adalah wang bank  yang kita pinjam.
  • Hanya simpan satu atau dua kad, jangan sehingga enam atau tujuh kad
  • Elakkan berbelanja melebihi pendapatan anda. Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu membayarnya.
  • Gunalah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran servis yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali). Pastikan kad yang patuh syariah.
  • Bayar kesemua baki setiap bulan; tetapi jika ini juga sukar, bayar amaun lebih daripada amaun minima bulanan anda.
  • Jika tidak mampu berbuat semua diatas, nasihat saya sila gunting kad kredit anda.

Dan kalau kita berhutang, berniat dan berusahalah untuk membayarnya. Allah akan permudahkan insyaAllah. Kalau kita berhutang dengan seseorang, pastikan bayar seperti yang dijanjikan semasa berhutang. Kalau tidak dapat bayar dalam tempoh yang dijanjikan, beritahu orang itu minta tangguh. Jangan lah berdiam diri dan jangan kerana ini kita hilang kawan atau saudara. Takut jika kita meninggal sebelum hutang dibayar, roh kita tergantung-gantung. Nauzubillah.


MENARIK DI SANDAKAN - REINFOREST DISCOVERY CENTRE

Entry ke 33

Teks : RAHMAH YAAKOB


Salam sejahtera.

Sambungan tempat menarik di Sandakan. Selepas kita melawat OrangUtan, kita teruskan lawatan di Rainforest Discovery Centre yang jaraknya cuma 2 km sahaja dari Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre.

Antara yang menarik disini adalah :-

Dewan Pameran (Exhibition Hall)

Disini banyak  maklumat berkaitan jenis-jenis hutan dan tumbuhan serta haiwan yang ada dihutan berkenaan. Bagus untuk menambah pengetahuan am kita. Sewaktu saya datang dulu, ada rombongan sekolah yang sedang menjalankan aktiviti di dalam dewan pameran ini.


‘Plant Discovery Garden’. 

Tempat yang mesti dikunjungi oleh pencinta bunga dan tanam-tanaman. Terdapat lebih dari 250 spesis orkid ada ditanam di sini. Pelbagai jenis pokok bunga, pokok herba dan ulaman terdapat di sini.  

Reinforest Discovery Walk


Canopy Walkway

Pelantar sepanjang 347 meter ini memberi peluang kepada kita menikmati pemandangan hutan Sepilok pada ketinggian 25 m dari aras tanah. Kita juga berpeluang melihat pelbagai jenis burung, tupai dan lain-lain ‘wildlife’. Sejuk mata memandang kehijauan hutan ditambah dengan angin yang menyapa sejuk di atas sana.

Titian berayun di atas tasik

Kita juga berpeluan menyeberangi tasik yang indah melalui titi berkenaan. Pengalaman yang seronok bila titi itu berayun-ayun ketika kita melintasinya. Bagi yang kurang berani terjerit-jerit cemas :)


Berkayuh Bot

Aktiviti  ini cuma ada sewaktu hujung minggu dan cuti am sahaja.


Tidak rugi kita bermesra dengan hutan dan lari sebentar dari hiruk pikuk kota. Udara pun nyaman dan bersih. 

Waktu lawatan : 8.00 pagi – 5 ptg (setiap hari)

Bayaran masuk : 

Kanak-kanak (5 – 17 thn) - RM3.00
                            
Dewasa                            - RM7.00    


Tel : 089-533780/1


Saturday, 21 March 2015

MEMILIH UNTUK BAHAGIA

Entry ke 36

Teks : RAHMAH YAAKOB


Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga mesti menginginkan rumahtangga yang harmoni, bahagia dan mendamaikan.  Tetapi ikatan perkahwinan adalah penyatuan dua insan yang berbeza. Suami dan isteri dua insan yang berbeza emosinya.  Disinilah kita kena pandai memainkan peranan sebagai isteri atau suami. Jika kita hidup berpandukan Al-Quran dan assunnah, insyaAllah semua perbezaan dapat kita atasi.

Para suami mesti memahami emosi seorang isteri. Isteri memerlukan perhatian, pemahaman, belaian kasih saying, merasa dihormati , dianggap setiap perlakuannya adalah betul dan sentiasa diberi keyakinan oleh suaminya.

Contoh bila nak keluar rumah, isteri akan bertanya kepada suami :

" Okey tak saya pakai baju ni " ?

Kalau suami jawab : 

"Okey, cantik dan padan". 

Isteri akan yakin dengan penampilannya seharian itu berbekalkan keyakinan yang suami dia beri.  Atau pun mungkin itu cara dia nak beri tahu suami baju yang baru dibelinya. Kadang-kadang suami ni bukannya perasan benda-benda macam tu. Dianggap remeh sahaja. 

Isteri bukannya hendakkan suaminya bawa balik jambangan bunga setiap hari. Cukup sekadar sedikit pujian atau penghargaan atas masakannya atau rumah yang kemas.

Isteri pula mesti tahu emosi seorang suami. Suami memerlukan kepercayaan, penerimaan, merasa dihargai, merasa dikagumi dan sentiasa ingin dapatkan galakan dari isteri.

Jadi para isteri  berilah kepercayaan sepenuhnya terhadap suami kita. Tapi kena ada juga simpan sedikit perasaan cemburu. Kadang-kadang suami pun suka jika kita usik-usik kata cemburu. Itu tanda kita sayang kepada dia. Tetapi jangan terlebih sudah. Nanti suami rimas dan bosan. Dan sangkaan-sangkaan kita itu juga takut menjadi doa dan makbul pula.

Kita juga sekali sekala kena puji dan hargai apa yang suami buat atau belikan untuk kita. Biar dia rasa dihargai. 

Kita juga perlu saling menerima kekurangan pasangan kita. Yalah, mana ada manusia biasa yang sempurna di muka bumi ini.  Kita dijodohkan untuk saling lengkap melengkapi. Cara didikan dari ibubapa kita sedari kecil mungkin berbeza. Maka raikan lah perbezaan ini dengan berlapang dada.

Contohnya pasangan kita sudah biasa diajar berjimat cermat sedari kecil. Kita pula jenis yang suka membeli belah. Maka disini perlu ada tolak ansur antara kita. Atau suami kita suka mengumpul barang-barang  antic dan pertukangan tangan. Kita pula tidak suka. Maka hormatilah hobi suami kita itu.

Tetapi ada perkara yang sudah jadi kebiasaan suami atau isteri semasa bujang perlu diubah demi  kebaikan rumahtangga.  Contoh suami dulu hisap rokok sekotak sehari. Bila sudah berkahwin bukannya suruh berhenti terus dari menghisap rokok. Tapi ada usaha untuk mengurangkan sedikit demi sedikit seterusnya berhenti terus. Ini demi kesihatan isteri dan zuriat yang bakal dilahirkan. Dan juga ini selari dengan suruhan agama kita dan juga boleh berjimat. Boleh bawa isteri pergi honeymoon lagi dan lagi.


Contoh isteri pula masa bujang suka makan diluar. Dah bersuami kenalah rajin-rajin kedapur. Disamping jimat,  kasih saying bertambah erat melalui makanan yang disediakan oleh isteri sendiri. 

Jadikan lah suami atau isteri kita pasangan, sahabat dan teman baik kita dalam membina keluarga yang bertaqwa.

TEMPAT MENARIK - AGNES KEITH HOUSE DAN SEPILOK ORANGUTAN REHABILITION CENTRE

Entry ke 17

Teks : RAHMAH YAAKOB

Assalamualaikum semua,

Sejak menjadi warga Sandakan ini ada beberapa kali saya berkesempatan melawat beberapa tempat yang menarik di sini. Ya lah, nanti kalau ada saudara mara atau kawan dari Semenanjung datang boleh lah saya jadi pemandu pelancung tidak rasminya.

AGNES KEITH HOUSE

Tempat pertama yang saya akan bawa adalah sebuah rumah yang ada kaitan dengan sejarah dahulu. Rumah ini dahulu dimiliki oleh  'Conservator Of Forests, Harry Keith dan isterinya seorang penulis dari Amerika bernama Agnes Keith. Mereka mendiami rumah ini dari tahun 1930 hingga 1942. Rumah ini  terletak di puncak bukit melalui Jalan Istana  mengadap Sandakan Bay.

Pemandangan dari atas bukit ini sangat cantik. Kita dapat melihat nun jauh saujana mata memandang kebiruan laut dan bandar Sandakan. Sesiapa yang ingin minum English Tea juga ada disediakan disini sambil duduk-duduk menghirup udara segar.


SEPILOK ORANG UTAN

Orang Utan dengan sifat pemalu dan lembut jarang dapat dilihat secara bebas. Tetapi suatu tempat yang kita dapat melihat orang Utan ini adalah di Sepilok Rehabilitation Centre. Ia terletal lebihkurang 40 minit dari bandar Sandakan. Penempatan ini dulu dibuat untuk menjaga anak-anak orang utan yang terbiar dari kawasan pembalakan, kawasan plantation dan juga akibat pemburuan secara haram. Mereka dijaga sehingga boleh dilepaskan bebas kedalam hutan.

Disini kita dapat menyaksikan orang utan keluar untuk makan buah-buahan yang disediakan oleh penyelia penempatan ini.  Jika bernasib baik kita dapat menyaksikan berbelas-belas ekor orang utan yang keluar. Nasib kurang baik cuma tiga empat ekor sahaja yang keluar.

Pusat ini dibuka dari 9 pagi hingga 12 tengahari dan 2 ptg hingga 4 ptg (setiap hari ) kecuali Jumaat 9 pagi hingga 11 pagi dan petang masa yang sama.

Waktu makanan di beri adalah pukul 10 pagi dan 3 petang. Digalakkan datang 30 minint sebelum waktu tersebut.





Friday, 20 March 2015

PERANCANG KEWANGAN VS PENJUAL TAKAFUL

Entry ke 32

Teks : RAHMAH YAAKOB


Saya pernah mengikuti kursus dan lulus Registered Financial Planner (Module 1 dan 2) di Malaysian Insurance Institute. Saya juga pernah ada lesen untuk Unit Trust. Jadi dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya lebih suka menjadi penasihat kewangan kepada pelanggan saya.

Kalau seorang pesakit berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, doktor tersebut tidak akan terus memberi ubat tanpa usul periksa. Doktor akan bertanya keadaan kesihatan pesakit, sejarah keluarga dan perkara berkaitan. Kemudian baru disyorkan rawatan yang patut diberikan.

Begitu juga dengan tugas penasihat kewangan.Saya akan cuba dapatkan kedudukan kewangan prospek saya, tanggungannya, perdapatan, perbelanjaan dan tujuan dia ingin mengambil takaful.

Dari soal selidik baru saya syorkan pelan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangannya. Saya lebih suka pelanggan mengambil polisi yang dia mampu bayar berterusan daripada mengambil polisi yang mahal tetapi berhenti separuh atau suku jalan atau sebulan sahaja mencarum.

Jika dia ketua keluarga, saya akan pastikan dia mengambil pelan perlindungan pendapatan. Sesetengah prospek saya hanya berminat untuk mengambil simpanan pelajaran untuk anak-anak dia sebagai tanda sayang kepada anak. Tetapi dia sendiri masih tidak ada polisi untuk perlindungan dirinya sendiri. Di sini saya akan menerangkan kenapa dia perlu ambil untuk diri sendiri sebelum ambil untuk anak-anak. Lagi berat tanggungannya sekiranya isterinya tidak bekerja.

Secara kasarnya pelan-pelan takaful ini diadakan bersesuaian dengan tujuan mengambil takaful itu sendiri.


  • Pelan perlindungan pendapatan
  • Pelan simpanan untuk hari tua
  • Pelan simpanan untuk pelajaran anak-anak
  • Pelan 'investment link'
  • Pelan untuk haji dan umrah
Disamping pelan asas di atas, polisi ini boleh juga ditambah dengan manafaat pilihan (rider) seperti berikut :-

  • Penyakit kritikal
  • Kemalangan
  • Kad Perubatan
  • Elaun Hospital
  • 'Waiver of contribution'
Jadi bila perunding kewangan bertanyakan atau soal selidik berkenaan kewangan anda, berikanlah kenyataan yang betul supaya anda dapat pelan yang terbaik mengikut keperluan anda.